PUTRAJAYA – Keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan untuk mendapatkan kebenaran merayu dalam kes fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengakhiri pertikaian undang-undang yang berlarutan selama lima tahun.
Peguam Hannah Yeoh, Razlan Hadri Zulkifli memaklumkan, beliau berpendapat, isu yang dibangkitkan oleh Musa bukanlah persoalan undang-undang yang unik atau baharu kerana prinsip berkaitan kes fitnah telah lama diputuskan oleh mahkamah sebelum ini.
“Atas alasan itu, permohonan Tan Sri Musa Hassan untuk mendapatkan kebenaran merayu telah ditolak,” katanya kepada media ketika ditemui selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan rayuan tersebut di sini, hari ini.
Razlan Hadri berkata, keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan membuktikan Hannah telah difitnah menerusi kenyataan yang dibuat oleh Musa.
Katanya, kemenangan tersebut bukan berkisar soal wang, sebaliknya mengenai usaha memulihkan reputasi serta memastikan negara kekal selamat untuk semua rakyat.
“Setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan pandangan, tetapi hak itu tidak boleh digunakan untuk memfitnah orang lain atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Hannah melahirkan rasa syukur selepas kes yang berlarutan sejak lima tahun lalu akhirnya selesai dan memihak kepadanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan peguamnya yang terdiri daripada Razlan, Wei Jiet, Datuk Ambiga Sreenevasan dan Sangeet Kaur Deo atas usaha mereka sepanjang mengendalikan kes berkenaan.
Menurut Hannah, beliau berdepan pelbagai tohmahan dan fitnah susulan kenyataan yang dibuat oleh termasuk penyebaran dakwaan di TikTok yang menyentuh isu agama dan bangsa sehingga membawa kepada banyak laporan polis terhadapnya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kerana memberikan keadilan kepada saya.
“Saya berharap keputusan hari ini menjadi pengajaran kepada mereka di luar sana yang gemar memainkan isu kaum dan agama. Perkara ini mesti dihentikan,” katanya. – MalaysiaGazette
















