Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi mengikuti prosiding rayuan yang difailkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berhubung kes saman mengenai kenyataan isu kristianisasi. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 OKTOBER 2025

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, kekal membayar ganti rugi RM250,000 kepada Hannah Yeoh berhubung kenyataan fitnah yang dibuat terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu.

Selain itu, Musa turut diarahkan membayar kos guaman berjumlah RM50,000.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang menolak permohonan kebenaran merayu yang difailkan Musa selepas mendapati persoalan undang-undang yang dibangkitkan tidak memenuhi syarat di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Dalam keputusannya, Rhodzariah berkata, selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah sebulat suara menolak notis usul berkenaan kerana tidak yakin syarat ambang di bawah Seksyen 96 telah dipenuhi.

“Pada pandangan kami, persoalan yang dibangkitkan tidak mencapai tahap sebagai persoalan undang-undang yang mempunyai kepentingan awam,” katanya ketika membuat keputusan tersebut.

Pada 17 Oktober 2025 lalu, mahkamah selesai mendengar hujahan rayuan daripada kedua-dua pihak.

Kes berkenaan bermula apabila Hannah, yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan, memfailkan saman terhadap Musa pada 2020 berhubung kenyataan yang didakwa memfitnahnya ketika berucap dalam sebuah forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Hannah mendakwa, Musa dalam ucapannya, antara lain menuduh beliau menulis bukunya yang bertajuk ‘Becoming Hannah’ dengan tujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian, mempunyai hubungan dengan mubaligh Kristian dan Yahudi untuk menjejaskan agama Islam serta Malaysia termasuk mengutamakan kepentingan peribadi beliau berbanding negara.

Beliau turut mendakwa Musa menuduhnya mengutamakan kepentingan peribadi berbanding kepentingan negara.

Pada 23 Disember 2024, Mahkamah Tinggi menolak saman Hannah selepas mendapati beliau gagal membuktikan kenyataan Musa adalah fitnah.

Bagaimanapun, pada 13 Januari lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan berkenaan dan memihak kepada Hannah dengan memerintahkan Musa membayar ganti rugi RM250,000 serta kos tambahan RM60,000 selepas mendapati kenyataan tersebut berunsur fitnah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast