KULAI – Seorang pembantu kedai runcit maut selepas motosikal ditunggang kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 25 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima laporan kejadian tersebut pukul 6.05 pagi.
“Kemalangan melibatkan motosikal jenis Honda Dash ditunggang lelaki berusia 48 tahun dengan kereta Toyota Vios dipandu lelaki berusia 37 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa bergesel dan melanggar bahagian cermin sisi kanan kereta tersebut yang sedang bergerak di lorong kiri,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut penunggang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Katanya, pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim menerusi talian 0177573507,” katanya.- MalaysiaGazette
















