KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang baru berakhir membuktikan kekuatan politik orang Melayu akan kembali apabila kaum tersebut kembali bersatu.
Menurut beliau, walaupun bentuk kerjasama politik yang wujud ketika ini masih belum jelas dari segi struktur dan ikatannya, ia perlu diterima sebagai satu langkah ke arah memperkukuh kedudukan politik orang Melayu.
Dr Mahathir bagaimanapun menegaskan, penyatuan itu bukan bertujuan mempertahankan kebatilan atau melakukan perkara yang tidak baik.
Sebaliknya, katanya, kekuatan politik tersebut perlu dimanfaatkan untuk mengangkat martabat orang Melayu, agama Islam dan mempertahankan kedaulatan negara.
Beliau turut menegaskan, penyatuan orang Melayu bukan untuk menekan atau menafikan hak serta kepentingan kaum lain.
“Apabila orang Melayu bersatu dan mempunyai kekuatan politik, ia memberi keyakinan kepada mereka untuk memperjuangkan kepentingan kaumnya tanpa mempertikai hak-hak kaum lain,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Dr Mahathir, pendekatan itu merupakan amalan yang dipegang sejak negara mencapai kemerdekaan dan telah terbukti berjaya memakmurkan orang Melayu serta kaum-kaum lain.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang Melayu agar terus bersatu dan memperkukuhkan kekuatan politik mereka demi memastikan kedaulatan tanah air terus terpelihara.
“Kerana itu Melayu perlu bersatu dan memperkukuh kekuatan politik mereka. Hanya dengan cara ini tanah air kita akan kekal hak kita,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















