KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan keputusan Parti Bersama pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli yang tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai bukti parti itu semakin hilang relevan malah mencadangkan ia dibubarkan.

Exco AMK, Mohd. Shafiq Iqram Abdullah berkata, kegagalan parti Kancil itu meraih sokongan rakyat pada PRN Johor sebelum ini diikuti keputusan tidak menyertai PRN Negeri Sembilan menunjukkan parti berkenaan gagal membuktikan nilai tambah dalam landskap politik negara.

Menurutnya, rakyat tidak memerlukan sebuah lagi parti yang hanya menjadi pemerhati atau pengulas politik sebaliknya mahukan parti yang berani turun ke gelanggang dan mendapatkan mandat melalui proses demokrasi.

“Jika sebuah parti gagal mendapat kepercayaan rakyat dan pada masa sama tidak bersedia menguji kekuatan mereka secara konsisten dalam pilihan raya, maka persoalan tentang relevansi parti itu akan timbul dengan sendirinya sama ada mereka perlu dibubarkan atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Shafiq berkata, keputusan PRN Johor menjadi referendum pertama rakyat terhadap Parti Bersama dan mesej yang diterima jelas apabila parti itu gagal dilihat sebagai alternatif yang mampu mencabar parti-parti sedia ada.

Katanya, tindakan tidak bertanding pada PRN Negeri Sembilan pula menimbulkan persoalan sama ada perjuangan parti itu benar-benar berteraskan kepentingan rakyat atau sekadar memilih medan yang dianggap menguntungkan.

“Sebuah parti politik tidak boleh hanya muncul ketika mahu menghantar mesej politik dan menghilang apabila tiba masanya untuk mendapatkan mandat rakyat.

“Demokrasi menuntut konsistensi. Jika Parti Bersama benar-benar yakin dengan perjuangan mereka, medan terbaik untuk membuktikannya adalah melalui pilihan raya, bukannya sekadar komentar dari luar gelanggang,” katanya.

Beliau berkata, Parti Bersama perlu melakukan muhasabah terhadap hala tuju dan relevan parti berkenaan kerana komitmen membawa suara rakyat hanya dapat dibuktikan melalui penyertaan secara konsisten dalam setiap proses demokrasi.

Semalam, Rafizi memutuskan Parti Bersama Malaysia (Bersama) untuk tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bagi memberikan tumpuan kepada PRN Melaka.

Pemimpin parti itu Rafizi, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Syukri Razab dalam kenyataan bersama hari ini berkata, keputusan itu mengambil kira isu terkini di Negeri Sembilan selain kekangan masa dan sumber. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast