SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) yakin mampu mencipta kebangkitan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berdasarkan sambutan luar biasa ribuan penyokong pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman calon parti itu, malam ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keadaan itu mencerminkan perubahan sentimen rakyat serta petanda awal BN berada di landasan tepat untuk merampas semula keyakinan pengundi.
“Saya melihat lautan biru pada malam ini cukup luar biasa.
“Jika dibandingkan dengan pilihan raya sebelum ini, ia menggambarkan titik tolak kepada kebangkitan besar yang akan berlaku pada hari pengundian nanti, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN Negeri Sembilan di luar pekarangan Stadium Paroi, di sini, malam ini.
Jalaluddin turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mengetuai BN Negeri Sembilan menghadapi PRN kali ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan parti, jentera akar umbi serta semua calon BN yang diumumkan untuk bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Menurutnya, semua calon yang dipilih telah melalui proses saringan yang teliti bagi memastikan hanya individu terbaik diketengahkan untuk membawa aspirasi rakyat Negeri Sembilan.
“Calon-calon ini telah melepasi semua tapisan dan pelbagai proses penilaian. Kita pastikan mereka merupakan calon terbaik untuk mewakili Barisan Nasional,” katanya.
Jalaluddin turut berkata, BN mempunyai kelebihan dari segi pengalaman mentadbir negeri selama berpuluh-puluh tahun, sekali gus menjadi asas kukuh untuk menawarkan pentadbiran yang stabil dan berkesan kepada rakyat.
“BN mempunyai pengalaman yang luas mentadbir kerajaan negeri.
“Pengalaman ini pastinya memberikan keyakinan kepada rakyat untuk sekali lagi memberi mandat kepada BN membentuk kerajaan Negeri Sembilan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jalaluddin turut menyeru semua calon dan jentera parti supaya mengamalkan budaya politik matang sepanjang tempoh berkempen.
“Saya telah mengingatkan semua rakan calon supaya berkempen secara berhemah, membawa misi dan tawaran kepada rakyat tanpa memburukkan atau memperkecilkan mana-mana pihak,” katanya.
Beliau turut menghargai kerjasama yang diberikan oleh pengamal media dalam membuat liputan sepanjang proses pilihan raya.
“Saya berharap semua pihak bersama-sama memastikan perjalanan PRN berlangsung dalam suasana aman, tertib dan harmoni,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















