Penunggang motosikal maut selepas dirempuh dalam kejadian di Jalan Dewan Bahasa awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR –  Tindakan penunggang motosikal yang sanggup melawan arus dan melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) membawa padah apabila seorang lagi penunggang maut dalam kejadian di Jalan Dewan Bahasa, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 47 tahun yang menunggang motosikal SYM Maxsym 400 meninggal dunia akibat parah di kepala selepas bertembung dengan motosikal Yamaha Y15ZR.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL), Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan mendapati penunggang motosikal Yamaha Y15ZR itu merupakan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun.

“Siasatan mendapati, penunggang motosikal terbabit dipercayai bertindak berpatah balik selepas menyedari terdapat SJR polis di hadapan dan menunggang secara melawan arus dari arah Jalan Hang Tuah menghala ke Jalan Istana sebelum bertembung dengan motosikal mangsa sehingga berlaku perlanggaran secara berdepan.

“Susulan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan namun lelaki itu disahkan meninggal dunia sekitar jam 7 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zamzuri, siasatan mendapati penunggang motosikal Yamaha Y15ZR dipercayai bertindak melawan arus kerana kenderaan ditunggangnya mempunyai aksesori yang tidak lengkap.

“Jarak lokasi kemalangan dengan SJR polis berkenaan dianggarkan kira-kira 50 meter dan hasil ujian alkohol serta saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif.

“Suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Mohd Zamzuri turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak mengambil tindakan berbahaya seperti melawan arus semata-mata untuk mengelak pemeriksaan pihak berkuasa.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang malah boleh mengakibatkan kemalangan yang mengorbankan nyawa.

“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast