KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) memutuskan untuk tidak meletakkan mana-mana calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang ke-143 hari ini yang membincangkan isu pasca PRN Johor serta hala tuju parti menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Menurutnya, mesyuarat bersetuju sebulat suara Pejuang akan kekal menyokong calon Perikatan Nasional (PN) yang bakal dinamakan di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
“Pejuang juga akan membantu kempen PN pada PRN Negeri Sembilan 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mukhriz berkata, keputusan untuk tidak bertanding dibuat selepas mengambil kira kepentingan penyelarasan gerakan politik serta memastikan sokongan diberikan kepada calon yang diputuskan bersama.
“Mesyuarat juga bersetuju bahawa Pejuang tidak akan meletakkan mana-mana calon di PRN Negeri Sembilan 2026,” katanya.
Dalam perkembangan sama, keputusan Pejuang itu menjadikan parti berkenaan antara tiga parti yang memilih untuk tidak memasuki gelanggang secara langsung pada PRN Negeri Sembilan.
Selain Pejuang, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) juga dilihat tidak mahu menyertai PRN Negeri Sembilan kali ini.
Perkembangan itu menyaksikan persaingan PRN Negeri Sembilan setakat ini dijangka lebih tertumpu kepada gabungan politik utama yang mempunyai jentera pilihan raya serta struktur akar umbi yang lebih tersusun. – MalaysiaGazette
















