Azizi dijatuhkan hukuman denda atas kesalahan menyimpan memiliki dan menyimpan 31,164 liter minyak diesel bersubsidi tanpa kebenaran, empat tahun lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Perbuatan menyimpan memiliki dan menyimpan 31,164 liter minyak diesel bersubsidi tanpa kebenaran empat tahun lalu membawa padah apabila Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman didenda RM25,000 terhadap seorang pemilik syarikat penghantaran barang.

Hukuman tersebut dijatuhkan Hakim, Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim selepas Azizi Derani, 46, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Azizi didakwa mempunyai dalam kawalannya barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 30,972 liter yang disimpan dalam sebuah tangki besi sebuah lori tangki serta 237 liter dalam sebuah tangki besi yang diletakkan di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Minyak diesel berkenaan didapati berada dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dengan barang kawalan diesel secara runcit atau borong tanpa lesen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis kediaman Lorong Durian, Kampung Sinaran Baru, Skudai, di ini kira-kira pukul 1 petang pada 15 Ogos 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), S.Loganathan, manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Hidayah Basiran.

Nurul Hidayah dalam rayuannya memohon anak guamnya diberi hukuman ringan atas faktor merupakan penanggung tunggal keluarga, yang mempunyai empat isteri yang tidak bekerja, 12 anak kandung, dua anak angkat dan lima anak tiri berumur enam hingga 23 tahun.

“Orang Kena Saman (OKS) juga adalah pemegang kad Orang Upaya (OKU) fizikal. Selain mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung kritikal. OKS juga baru menjalani pembedahan kecil membuang ketumbuhan di perut dua hari lalu,” hujahnya.

Loganathan dalam hujahan pemberat memohon mahkamah memberi hukuman setimpal, berikutan ini adalah kesalahan berulang dilakukan tertuduh.

“OKS adalah pesalah berulang kali kedua. OKS pernah dituduh serta didenda RM7,000 pada November 2025. Untuk kes ini tertuduh telah ditawarkan kompaun RM100,000 tanpa perlu menjalani prosiding mahkamah tetapi OKS tidak berbuat demikian,” katanya.

Pada prosiding berkenaaan, mahkamah turut memerintahkan diesel bernilai RM74,901.60 dilucut hak hak kepada kerajaan Malaysia.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast