Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun hadir bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Pantai, Persimpangan Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 JULAI 2026

SEREMBAN – Perkembangan politik melibatkan parti pembangkang di Negeri Sembilan sebagai sesuatu “agak ganjil” susulan wujud perbezaan pendekatan antara kerjasama di peringkat Persekutuan dan negeri.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keadaan itu jelas apabila parti-parti tertentu memilih haluan berbeza di Johor dan Negeri Sembilan walaupun mempunyai kerjasama di peringkat pusat.

“Agak ganjil apabila di pusat mereka bersama tetapi di negeri mereka tidak mahu bersama. Ini yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan.

“Saya tidak mahu mengulas banyak. Kita akan hadapi keadaan ini dan kita telah meletakkan 36 calon serta akan bertanding di 36 kerusi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Aminuddin mengiringi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Kariah Pantai, di sini, tengah hari tadi.

Dalam pada itu, Aminuddin menegaskan, PH tidak akan memberi tumpuan kepada percaturan politik lawan.

“Sebaliknya PH akan terus mendekati rakyat dengan membawa rekod pencapaian kerajaan negeri. Kempen PH akan terus memberi fokus kepada usaha meneruskan pembangunan serta menjaga kebajikan rakyat Negeri Sembilan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast