Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Bersatu tidak mufarakah (berpisah) secara sukarela dari Perikatan Nasional (PN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, Bersatu yang mengasaskan PN dan masih parti anggotanya yang sah.

“Tetapi hak-hak Bersatu sebagai parti anggota dan parti pengasas PN telah dinafikan. Rundingan kerusi pilihan raya dengan Bersatu tidak diteruskan. Malah ia sengaja dihentikan dengan alasan yang tidak munasabah,” kata Presiden Bersatu itu dalam kenyataan.

Menurut Muhyiddin, Bersatu juga tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang memuktamadkan pembahagian kerusi parti-parti anggotanya.

“Jadi, mengapa Bersatu dituduh bertindak mendahului keputusan mesyuarat jika mesyuaratpun tidak dijemput? Mengenai rundingan dengan BN (Barisan Nasional), Pengerusi PN mengakui beliau memberi kebenaran rundingan dijalankan.

“Saya tidak mempersoalkan rundingan. Soalnya ia melibatkan perkara dasar yang sepatutnya dibawa ke Majlis Tertinggi PN terlebih dahulu.

“Sebaliknya, rundingan dibuat tanpa melibatkan semua parti anggota dan tanpa mandat Majlis Tertinggi. Setelah keputusan mengenai kerjasama dibuat barulah dibawa ke Majlis Tertinggi. Ini cara yang songsang,” katanya lagi.

Menurut Muhyiddin, sepanjang beliau memimpin PN selama lima tahun, tidak pernah mengenepikan mana-mana parti anggota dalam proses membuat keputusan PN termasuk hal-hal dasar parti dan pembahagian kerusi pilihan raya.

Mesyuarat dan rundingan melibatkan semua parti dan setiap keputusan dibuat secara teratur.

“Hari ini, segalanya telah berkecamuk.Tuduhan Tan Sri Annuar Musa kononnya Bersatu menghalang penyatuan Melayu adalah amat tidak bertanggungjawab.

“Saya menubuhkan Bersatu sebagai sebuah parti pribumi Melayu dan perjuangan saya untuk penyatuan Melayu tidak pernah padam.

“Malah pada peringkat awal penubuhan PN, saya menggagaskan PN sebagai parti induk yang menggabungkan parti-parti Melayu termasuk UMNO serta parti-parti pelbagai kaum yang lain.

“Namun, UMNO menolak untuk menyertai PN. Malah UMNO tidak mahu menjadi sebahagian daripada parti dalam Kerajaan PN. Hanya ahli-ahli Parlimen UMNO sahaja yang menyokong kerajaan PN,” katanya.

Menurutnya, ahli-ahli Parlimen UMNO kemudiannya berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan PN iaitu sebuah kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu dan parti Melayu.

“Hari ini mereka sedang melakukan perkara yang sama kepada Kerajaan Perpaduan yang mereka sendiri tubuhkan bersama-sama Pakatan Harapan (PH).

“Oleh kerana PN yang dipimpin oleh Pas mahu mewujudkan gabungan dengan UMNO, yang masih mempunyai hubungan dengan PH termasuk DAP, Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu dan parti Melayu yang saya pimpin ini diketepikan oleh PN.

“Ini bukanlah penyatuan Melayu yang sebenar. Ini hanyalah penjajaran semula kuasa politik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast