KLUANG – Seorang wanita maut dihempap pokok kelapa sawit yang tumbang semasa bekerja di Ladang Kekayaan, Paloh di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Yusma Yuzaini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 4.01 petang.
Susulan itu katanya, seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO), operasi menyelamat dijalankan dengan menggunakan jentera JCB bersama-sama peralatan menyelamat bagi mengangkat pokok yang menghempap mangsa.

“Mangsa, Safiah Abdul Rasid berusia, 37 tahun berjaya dikeluarkan daripada timbunan pokok namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihaknya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas kejadian yang menimpa.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti di kawasan ladang atau hutan, khususnya selepas hujan lebat atau ketika cuaca tidak menentu yang boleh meningkatkan risiko pokok tumbang.- MalaysiaGazette
















