Tangkap layar video tular situasi banjir di Petaling Jaya, petang tadi.

KUALA LUMPUR – Hujan lebat di Lembah Klang petang ini mengakibatkan beberapa kawasan di Petaling Jaya dilanda banjir kilat, termasuk Medan Selera 223 selain sebuah kenderaan dilaporkan terkandas berhampiran Phileo Damansara.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata bomba menerima panggilan berhubung kejadian banjir di Medan Selera 223 pada 4.35 petang.

Beliau berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian dan mendapati banjir sedalam kira-kira dua meter.

“Air menunjukkan trend menurun ketika anggota tiba di lokasi dan tiada pemindahan mangsa dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ashrul Riezal berkata anggota dari BBP Damansara dan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) digerakkan ke lokasi kejadian sebuah kenderaan terkandas dalam banjir, namun laporan penuh berhubung insiden itu masih belum diperoleh.

Selain itu, beliau berkata sehingga 5 petang tadi, JBPM Selangor menerima empat panggilan melibatkan kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi dengan kesemua kejadian tidak melibatkan mangsa.

Sementara itu, seorang peniaga menerusi akaun TikTok @dapurmamamar membuat siaran langsung bagi memohon bantuan pihak berkuasa untuk membantu peniaga dan pelanggan yang terkandas di Medan Selera 223 sejak 3.50 petang.

Beliau berkata air naik dengan pantas sehingga mereka yang berada di kawasan itu terpaksa berdiri di atas meja makan apabila paras air mencecah pinggang.

“Air di sini memang cepat naik jika hujan lebat. Bekalan elektrik juga telah terputus,” katanya menerusi siaran langsung itu.

Seorang lagi pengguna TikTok @Sopan60 membuat siaran langsung yang menunjukkan sebuah kereta terkandas dalam banjir berhampiran Phileo Damansara dengan tiga individu berada di dalam kenderaan itu.

Siaran itu kemudian memaparkan mereka berjaya menyelamatkan diri selepas memecahkan cermin kenderaan dengan bantuan orang awam.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast