SEREMBAN – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong bersama Bank Rakyat menyokong pembangunan sebuah pusat ortopedik mampu milik di Seremban menerusi pembiayaan Bank Rakyat berjumlah RM1.42 juta kepada Limbcraft Innovation Sdn Bhd.
Perusahaan perubatan itu diasaskan oleh pakar bedah ortopedik Dr Eswaran Nadarajan.
Selepas kira-kira 15 tahun berkhidmat dalam sektor kerajaan dan enam tahun dalam sektor swasta, Dr Eswaran meninggalkan kerjaya yang stabil untuk membangunkan Axis Orthopaedic Specialist Centre & Ambulatory Care Centre.
Menurut Dr Eswaran, idea tersebut lahir daripada dilema yang sering dihadapi pesakit, iaitu menunggu berminggu-minggu, malah berbulan-bulan, untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan atau membayar antara RM20,000 hingga RM30,000 di hospital swasta.
Beliau kini berhasrat untuk menawarkan khidmat rawatan berkualiti dengan harga mampu milik dengan pengurangan kos rawatan dan pembedahan ortopedik sehingga 50 peratus, bergantung kepada jenis prosedur.
Pusat yang dijangka dilancarkan tahun ini bakal dilengkapi bilik pembedahan, wad rawatan harian dan kemudahan rehabilitasi robotik.
Bank Rakyat menyediakan pembiayaan RM1.42 juta bagi kerja pengubahsuaian serta pembelian mesin dan peralatan pada kadar keuntungan yang rendah, iaitu empat peratus setahun.
Sementara itu, Steven Sim berkata, manfaat pembiayaan kerajaan tidak seharusnya terhenti pada pertumbuhan sesebuah perusahaan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat yang lebih luas kepada rakyat.
Dalam kes ini, ujarnya, pembiayaan Bank Rakyat bukan sahaja membantu seorang profesional membangunkan perusahaan yang berdaya maju, malah membolehkan lebih ramai rakyat mendapatkan rawatan ortopedik berkualiti pada kos yang lebih mampu milik.
Dalam pada itu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon menyifatkan pembangunan pusat ortopedik tersebut di kawasannya sebagai berita baik buat rakyat Negeri Sembilan.
Menurut beliau, ini kerana mereka bakal mempunyai satu lagi pilihan untuk mendapatkan rawatan ortopedik yang lebih cepat dan mampu milik.
Tambahnya, sokongan agensi Kerajaan Persekutuan kepada perusahaan tempatan menunjukkan manfaat kerjasama erat antara wakil rakyat, kementerian dan agensi berkaitan.
Nicole turut menyatakan komitmennya untuk terus menghubungkan usahawan tempatan dengan saluran sokongan yang bersesuaian supaya lebih banyak idea dan kepakaran dari Negeri Sembilan dapat dikembangkan serta memberi manfaat kepada masyarakat. – MalaysiaGazette
















