JOHOR BAHRU – Tiada tempoh untuk berbulan madu bagi barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu yang diumumkan hari ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebaliknya mereka perlu terus bekerja bagi melaksanakan amanah yang diberikan rakyat.
“Mandat besar dan berharga yang diberikan oleh Bangsa Johor perlu diterjemahkan kepada usaha yang lebih kuat, penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap serta hasil yang dapat dirasai oleh setiap Bangsa Johor,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap dalam majlis pengumuman barisan Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu di kediaman rasminya, Saujana di sini hari ini.
Terdahulu seramai 10 Exco terbabit mengangkat sumpah jawatan berkenaan yang berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Bukit Serene di sini pagi ini.
Onn Hafiz yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada Ahad lalu berkata, keutamaan kerajaan negeri selepas ini adalah meneruskan agenda Maju Johor 2030 dengan lebih fokus dan berkesan demi membina Johor yang lebih maju, makmur dan sejahtera.

Beliau turut merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Ismail atas perkenan terhadap pelantikan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu itu.
Menurutnya, barisan Exco yang dibentuk itu menggabungkan pemimpin berpengalaman serta muka baharu bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri terus kukuh, cekap dan berkesan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Tambah Onn Hafiz, kerajaan negeri yang dipimpinnya akan terus membela semua kaum di Johor tanpa mengira latar belakang.
“Kita semua Bangsa Johor. Saya turut memohon doa agar seluruh barisan kepimpinan kerajaan negeri diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan petunjuk dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Semoga setiap keputusan yang dibuat sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat serta mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Barisan Nasional (BN) Johor menang besar dengan mendapat 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.- MalaysiaGazette


























