Fahmi Fadzil ketika ditemui selepas program ziarah di Felda Palong 2, ketika sesi kempen bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Jeram Padang, Manivanan Gowin.

JEMPOL – Setakat ini tiada sebarang arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mana-mana anggota Kabinet atau pemimpin yang memegang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan melepaskan jawatan susulan spekulasi yang timbul sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Sebaliknya, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan perdana menteri hanya mengingatkan semua anggota Kerajaan Perpaduan supaya mengekalkan semangat perpaduan, disiplin dan profesionalisme sepanjang tempoh berkempen.

“Setakat ini belum ada apa-apa arahan daripada perdana menteri. Cuma peringatan agar semua yang berkhidmat dalam kerajaan mengekalkan semangat perpaduan.

“Ia juga peringatan supaya kita memastikan disiplin dan profesionalisme sentiasa dipelihara ketika berkempen,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan beberapa pemimpin yang menyatakan kesediaan melepaskan jawatan sekiranya diarahkan Anwar.

Menurut Fahmi, perdana menteri memahami perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponen adalah lumrah dalam sistem demokrasi, termasuk apabila parti-parti bertanding sesama sendiri pada pilihan raya negeri.

Namun, katanya, perkara paling penting ialah semua pemimpin kerajaan terus menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza pendirian politik di gelanggang pilihan raya.

“Perdana Menteri memandang proses demokrasi memang seperti ini. Ia membolehkan perbezaan pandangan dan pendapat. Malah sebelum ini pun ada pilihan raya negeri yang menyaksikan parti-parti bertanding secara berasingan.

“Tetapi yang ditegaskan ialah kita mesti terus saling hormat-menghormati sesama pemegang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui sejurus program ziarah di Felda Palong 2, di sini ketika sesi kempen bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Jeram Padang, Manivanan Gowin.

Fahmi turut mengingatkan, setiap tindakan dan kenyataan pemimpin kerajaan bukan sahaja diperhatikan rakyat, malah turut memberi kesan kepada persepsi pelabur dalam dan luar negara terhadap kestabilan pentadbiran negara.

“Sebarang tindakan di pihak Kerajaan Persekutuan mempunyai implikasi terhadap persepsi, khususnya dalam kalangan pelabur domestik dan antarabangsa.

“Sebab itu perdana menteri melihat aspek ini sebagai penting dalam kita mengurus perbezaan yang mungkin timbul sepanjang proses demokrasi berlangsung,” katanya.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan sekiranya diarahkan perdana menteri.

Namun, Timbalan Presiden UMNO itu juga menegaskan kempen BN tidak berniat menyerang mana-mana pemimpin kerajaan pusat.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berkata, soal pelantikan atau penamatan jawatan menteri adalah hak mutlak perdana menteri, justeru tiada mana-mana pihak perlu mendesak anggota Kabinet meletakkan jawatan.

“Pelantikan menteri adalah budi bicara Perdana Menteri. Kalau orang dah tak suka, buat apa nak tunggu,” katanya ketika mengulas isu berkenaan.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast