JEMPOL – Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk R. Sri Sanjeevan mahu menjadikan penyelesaian isu bekalan air bersih sebagai keutamaan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, sepanjang turun padang bertemu penduduk, antara rungutan yang paling kerap didengarinya ialah masalah bekalan air selain jalan berlubang dan sistem perparitan yang masih belum diselesaikan.
“Masalah yang sering kita dengar ialah bekalan air, jalan berlubang dan longkang, sama seperti di kawasan-kawasan lain terutamanya di Taman Sri Rompin yang sudah bertahun-tahun berlaku masalah tangki air.
“Keadaan itu menjejaskan ratusan keluarga yang terpaksa berhadapan dengan derita krisis air setiap hari,” katanya ketika ditemui di Rompin di sini.
Menurutnya, masalah yang berlarutan itu sepatutnya diberikan keutamaan kerana melibatkan keperluan asas penduduk sebaliknya kerajaan negeri sebelum ini lebih mengutamakan projek yang tidak memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Kerajaan negeri lebih suka buat kerja pemborosan seperti bulatan bernilai setengah juta ringgit yang tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat,” katanya.
Malah Ketua Bersekutu Bersatu yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu berkata, masalah bekalan air turut berlaku di Kampung Orang Asli (KOA) Jeram Padang.
Katanya, semua masalah itu sering diutarakan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) namun sehingga kini tidak mendapat sebarang jawapan yang memualkan.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan rumah penduduk di kampung Orang Asli yang menurutnya masih daif dan membahayakan keselamatan.

“Kalau awak masuk ke kawasan kampung Orang Asli, awak boleh tengok rumah-rumah mereka yang mana keadaannya cukup daif, sangat teruk dan boleh tumbang bila-bila masa.
“Ia cukup bahaya tetapi mereka hidup dalam rumah sebegitu bersama anak-anak kecil mereka sampaikan bila kita tengok pun kita rasa sebak,” katanya.
Sanjeevan berkata, kebajikan masyarakat Orang Asli tidak seharusnya dipinggirkan kerana mereka juga berhak menikmati kediaman yang selamat dan selesa.
Selain isu kemudahan asas, beliau berkata, peluang pekerjaan turut menjadi antara kebimbangan utama penduduk khususnya golongan muda.
“Saya anak jati Jeram Padang, dilahirkan dan dibesarkan di sini dan sejak kecil saya ikut ibu menoreh getah jadi saya faham dan saya tahu apa masalah di Jeram Padang,” katanya. – MalaysiaGazette
















