LANGKAWI – Aktivis, Tamin Dahri Abdul Razak akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, esok bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.
Aktivis tersebut sebelum ini diburu polis bagi membantu siasatan menghina simbol suci agama Hindu ketika bercuti di pulau peranginan itu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, suspek sebelum ini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson pada 18 Julai lalu.
Menurutnya, suspek kemudian direman selama dua hari bermula 19 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Selepas tempoh reman tamat, suspek ditahan semula oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Langkawi bagi membantu siasatan berhubung lapodan di Kuah di sini, mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
“Waran tangkap telah disempurnakan ke atas suspek dan dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret Langkawi esok untuk tujuan pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak yang didakwa melarikan diri ke luar negara berhubung kes ugutan menerusi Facebook akhirnya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Port Dickson pada Sabtu.
Kata beliau, siasatan bermula selepas polis menerima satu laporan daripada seorang lelaki berketurunan India pada 10 Mac lalu kira-kira jam 6.25 petang yang mendakwa telah diugut oleh suspek di Facebook.
Berikutan laporan itu, katanya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Usaha mengesan suspek telah dijalankan di sekitar Kajang, Selangor, namun siasatan mendapati lelaki berkenaan dipercayai telah melarikan diri ke Thailand melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam pada 9 Mac lalu
“Siasatan juga mendapati, suspek berada di Thailand selama lebih empat bulan sebelum kembali ke negara ini melalui laluan tidak sah di sempadan Kelantan.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di Malaysia, suspek telah tampil menyerah diri di IPD Port Dickson bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















