Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad bersama barisna peguam selepas Mahkamah Sesyen membebaskannya daripada tiga pertuduhan bersubahat rasuah dengan suaminya Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini melepas dan membebaskan Datin Seri Zizie Izette A. Samad daripada tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin memperoleh suapan RM2.8 juta berkaitan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas mendapati balu bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu berjaya membuktikan pembelaannya melampaui tahap keraguan munasabah terhadap ketiga-tiga pertuduhan.

Selesai keputusan diumumkan, ibu tunggal lima anak itu kelihatan menangis ketika berdiri dalam kandang tertuduh sambil ditenangkan oleh individu yang menemaninya ke mahkamah serta barisan peguam yang mewakilinya.

Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad hadir pada keputusan di akhir kes pertuduhan bersubahat kes rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 JULAI 2026.

Ketika membacakan keputusan pada akhir kes pembelaan, beliau berpuas hati Zizie Izette tidak bersubahat melakukan pakatan jahat dengan suaminya melakukan ketiga-tiga kesalahan.

Mahkamah turut berpendapat, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan, bekas pelakon itu tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai pelaburan yang dilakukan oleh Felcra Berhad.

Rosli selanjutnya menyatakan, pihak pendakwaan dikehendaki membuktikan semua elemen asas kesalahan utama terhadap tertuduh pertama, Allahyarham Bung Moktar yang meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu.

“Oleh kerana kesalahan prinsipal terhadap Allahyarham tidak boleh bertahan dalam kes ini, pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan unsur penting pertuduhan.

“Saya juga mendapati wujud percanggahan antara penemuan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi (yang mengenepikan keputusan prima facie) terhadapnya.

“Justeru, saya dapati tiada niat jenayah atau konspirasi antara tertuduh dan arwah suaminya,” katanya.

Mahkamah turut berpandangan bahawa keterangan tertuduh adalah konsisten, kukuh, bona fide (niat baik) dan disokong bukan sahaja oleh keterangan saksi pembelaan, malah saksi pendakwaan.

Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas Mahkamah Sesyen membebaskannya daripada tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin memperoleh suapan RM2.8 juta berkaitan pelaburan unit amanah Public Mutual di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 JULAI 2026.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohd. Fadhly Mohd. Zamry manakala Zizie Izette diwakil peguam-peguam Datuk Seri K. Kumaraendran, M. Athimulan dan Ridha Abdah Subri.

Kes berprofil tinggi itu bermula pada 3 Mei 2019 apabila Zizie Izette, 48, dan Bung Moktar didakwa atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan pelaburan RM150 juta Felcra Berhad dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob memerintahkan kedua-duanya membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 7 September 2023 membenarkan permohonan semakan pasangan itu, sekali gus mengetepikan keputusan tersebut dengan melepas serta membebaskan mereka daripada semua pertuduhan.

Keputusan itu tidak kekal apabila Mahkamah Rayuan pada 22 Mei 2025 membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengarahkan mereka kembali membela diri.

Perkembangan kes itu bagaimanapun melalui fasa tidak diduga apabila Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Disember 2025 ketika usia 66 tahun, akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.

Susulan kematiannya, Mahkamah Sesyen pada 16 Januari lalu membebaskan bekas Ketua UMNO Sabah itu daripada ketiga-tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding terhadapnya.

Perbicaraan terhadap Zizie Izette bagaimanapun diteruskan sehingga beliau selesai memberi keterangan membela diri pada 5 Mac lalu sebelum pihak pembelaan menutup kesnya.

Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada Madhi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad, di mana kesalahan itu dilakukan hasil daripada persubahatan tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, di sini antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, wanita itu didakwa bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada Madhi dan RM337,500 daripada Norhaili.

Perbuatan didakwa dilakukan melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) dan Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Dua kesalahan itu didakwa dilakukan di bank sama pada pukul 12.16 dan 12.18 tengah hari 19 Jun 2015.

Setiap pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast