Tangkap layar insiden kes rompakan di hadapan bank di Bukit Tinggi, Klang, semalam.

KUALA LUMPUR  – Cubaan seorang lelaki merompak wang tunai RM82,000 dengan bersenjata berjaya dipatahkan dalam kejadian di hadapan sebuha bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang semalam.

Dalam kejadian sekitar 5.30 petang itu, pekerja syarikat keselamatan bertindak pantas dengan menutup pintu van sekuriti ketika melakukan aktiviti rutin pemindahan wang ke dalam kenderaan itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati petugas syarikat keselamatan kemudian  dihampiri seorang lelaki berpakaian jaket gelap dan topi keledar sebelum mengacukan objek menyerupai pistol jenis revolver.

“Sebaik menyedari kehadiaran suspek, petugas keselamatan itu sempat bertindak pantas dengan meletakkan beg berisi duit RM82,000 ke dalam van terbabit dan segera menutup pintu.

“Suspek yang tidak berjaya mendapat sebarang wang tunai kemudian merampas sepucuk senjata api jenis pump gun milik petugas keselamatan itu sebelum melarikan diri menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha,” katanya pada sidang media  di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.

Tambah Shazeli, pihaknya percaya suspek bertindak sendirian namun siasatan masih dijalankan daripada pelbagai aspek termasuk penglibatan orang dalam atau sebaliknya.

“Kita sedang giat mengesan suspek sedang giat dijalankan dengan mengumpul rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bank serta premis berhampiran selain kamera papan pemuka (dash cam) kenderaan.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 392/ 397 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Susulan kejadian itu, pihak polis akan melaksanakan sekatan jalan raya di sekitar Klang bagi mengesan suspek yang terlibat.

Beliau juga meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kes terbabit diminta tampil berhubung dengan pihak polis atau balai berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast