Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar

KUALA LUMPUR – Seorang petugas syarikat keselamatan yang terlibat dalam kes cubaan samun wang tunai RM82,000 di Klang disahkan meninggal dunia akibat masalah jantung, ketika proses keterangan diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar yang mengesahkan perkara itu berkata, lelaki berkenaan merupakan warga tempatan berusia 43 tahun bukan indibidu yang tular diacukan pistol oleh suspek ketika kejadian di sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Isnin lalu.

“Saya sahkan maklumat (kematian) tersebut, memang ada salah seorang petugas sekuriti ketika temu bual di IPD Klang Selatan di sebelah malam (Isnin), mangsa telah rebah dan pengsan.

“Mangsa yang juga pemandu van sekuriti terbabit telah dibawa menaiki ambulans ke hospital dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Tambahnya, hasil bedah siasat mangsa telah dijalankan pada Selasa dan punca kematian akibat masalah jantung.

“Mangsa yang meninggal dunia bukan petugas syarikat keselamatan yang tular dalam rakaman video berada di luar van terbabit ketika insiden jenayah itu berlaku.

“Setakat ini belum ada tangkapan dan sekiranya ada tangkapan serta kejayaan kita akan kongsikan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shazeli memaklumkan, pihaknya menemui beberapa petunjuk positif berkenaan suspek kes terbabit.

Pada Isnin lalu, media melaporkan pengawal keselamatan berjaya menggagalkan cubaan rompakan oleh seorang lelaki membabitkan wang tunai RM82,000 di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang.

Kejadian jam 5.30 petang itu berlaku ketika pekerja syarikat keselamatan sedang melaksanakan pemindahan wang ke dalam van.

Suspek yang gagal melarikan wang tunai telah merampas sepucuk senjata api jenis pump gun milik petugas keselamatan itu sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal jenis Yamaha.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast