Pengarah Komunikasi PH, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil (kiri) bersama calon PH N.17 Senaling, Mohd Hanis Alimin (tengah) beramah mesra dengan warga Felda Kepis sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kuala Pilah. Foto FAREEZ FADZIL, 22 JULAI 2026.

KUALA PILAH – Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (Harapan), Datuk Seri Fahmi Fadzil memberi jaminan akan meneliti keperluan pembinaan menara telekomunikasi di Felda Kepis susulan aduan penduduk berhubung masalah capaian internet yang masih tidak memuaskan.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi mendedahkan, isu berkenaan dibangkitkan sendiri oleh penduduk dan pihak pengurusan masjid ketika beliau turun berkempen bersama calon PH DUN Senaling, Mohd Hanis Mohd Alimin hari ini.

Katanya, masalah itu menjadi lebih ketara setiap kali musim perayaan apabila kepulangan ahli keluarga menyebabkan rangkaian sedia ada tidak lagi mampu menampung penggunaan.

“Pengerusi masjid dan penduduk memaklumkan apabila musim perayaan, ramai ahli keluarga pulang ke kampung dan talian yang ada sekarang tidak lagi memadai.

“Saya akan bertemu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) petang ini untuk meneliti sama ada sudah ada perancangan pembinaan menara telekomunikasi di Felda Kepis. Kita akan semak perkara itu,” katanya ketika ditemui selepas berkempen di DUN Senaling, petang ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, kawasan Senaling mempunyai nilai sentimental buat dirinya kerana mempunyai pertalian keluarga dengan kawasan tersebut.

“Tahun 1996, pakcik saya pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling. Beliau ialah abang kepada ayah saya dan keluarga sebelah ayah juga berasal dari Kuala Pilah.

“Sebab itu kawasan Senaling ini agak nostalgik bagi saya. Saya datang untuk memberi sokongan kepada Hanis yang saya percaya mampu membawa tenaga baharu dan perubahan kepada Senaling,” ujarnya.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil bercakap kepada media selepas beramah mesra dengan warga Felda Kepis sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kuala Pilah. Foto FAREEZ FADZIL, 22 JULAI 2026.

Dalam pada itu, Fahmi menafikan dakwaan wujud sekatan atau layanan tidak seimbang terhadap liputan media membabitkan calon yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan.

Beliau berkata, berdasarkan semakan setakat ini, liputan media adalah seimbang dan tiada sebarang arahan untuk mengehadkan mana-mana calon daripada mendapat ruang pemberitaan.

“Setakat hari ini, semakan menunjukkan laporan media agak sama rata. Mungkin pada hari tertentu lebih sedikit kepada satu pihak, kemudian keesokannya lebih sedikit kepada pihak yang lain.

“Tidak ada apa-apa arahan, teguran atau permintaan, dan memang tidak sepatutnya ada, untuk menghadkan atau mengekang calon-calon, khususnya daripada bertemu media atau untuk media membuat pelaporan,” ujarnya.

Menurut beliau, setakat ini hanya terdapat sedikit maklum balas daripada pengamal media mengenai kesukaran mendapatkan kerjasama sesetengah calon, namun perkara itu bukan berpunca daripada sebarang sekatan.

“Ada sedikit teguran daripada rakan-rakan media bahawa kadangkala calon yang cuba didekati agak sukar untuk ditemui.

“Bagi saya, yang penting ialah memastikan demokrasi negara berjalan dengan baik. Setakat yang saya teliti, tidak ada jurang liputan yang terlalu besar, sebaliknya ia agak seimbang,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast