Temubual MalaysiaGazette bersama Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 21 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Pelaburan menerusi Simpan SSPN menjadi antara langkah paling bijak bagi ibu bapa untuk menjamin masa depan pendidikan anak-anak tanpa sebarang kekangan akibat daripada masalah kewangan atau hutang yang tinggi apabila melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.

Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, Simpan SSPN yang diperkenalkan sejak 2004 bukan sekadar produk simpanan biasa, sebaliknya ia adalah instrumen simpanan pendidikan patuh syariah yang dijamin kerajaan dan direka khusus bagi membantu ibu bapa merancang masa depan pendidikan anak sejak usia muda.

Menurutnya, Simpan SSPN menawarkan dua produk utama, iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang dilengkapi pelbagai manfaat mengikut keperluan pendeposit.

“Melalui amalan menabung secara konsisten sejak anak masih kecil, ibu bapa dapat mengagihkan perbelanjaan pendidikan dalam jangka panjang dan tidak perlu menanggung masalah kewangan yang besar apabila anak melanjutkan pengajian ke universiti,” katanya dalam temu bual bersama MalaysiaGazette hari ini.

Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid menunjukkan brosur Simpan SSPN dan Cabutan Simpan SSPN 2026 di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 21 JULAI 2026.

Menurut beliau, antara kelebihan utama Simpan SSPN Prime ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma secara ringgit ke ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,000, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Simpan SSPN Prime turut menawarkan Geran Sepadan sehingga RM10,000 kepada keluarga yang layak. Menerusi Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI) yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 pula, keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 hingga RM6,000 boleh memohon geran sepadan sehingga RM5,000 untuk satu keluarga, tambah Ahmad Dasuki.

Kaunter Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 21 JULAI 2026.

Sementara itu, Simpan SSPN Plus pula menawarkan enam pakej serendah RM30 sebulan (Pakej Intan) hingga RM500 sebulan (Pakej Berlian) dengan manfaat perlindungan takaful ke atas pendeposit sehingga RM1.2 juta, manfaat khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan anak-anak serta perlindungan takaful sehingga umur pendeposit 69 tahun tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Menurut Ahmad Dasuki, PTPTN kini memberi tumpuan kepada usaha mengubah budaya masyarakat daripada meminjam kepada menyimpan bagi tujuan pendidikan tinggi.

“Apabila ibu bapa mula menyimpan sejak awal, anak-anak mempunyai dana pendidikan yang mencukupi apabila melanjutkan pengajian dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu turut membantu menjamin kelestarian dana pendidikan negara kerana PTPTN dapat menyalurkan lebih banyak pembiayaan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan.

Tambahnya, Simpan SSPN terus menawarkan dividen yang kompetitif dengan kadar pengagihan dividen sebanyak 4.10 peratus bagi tahun 2025, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 11 tahun.

Risalah Simpan SSPN Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diedarkan di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 21 JULAI 2026.

Bagi menggalakkan budaya menabung dalam kalangan ibu bapa, PTPTN meneruskan Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026 yang menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM1.9 juta kepada 1,060 pemenang sehingga 31 Disember 2026.

Cabutan kali ini terdiri daripada empat (4) cabutan istimewa iaitu Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026 (kategori tahunan), Cabutan WOW! Plus Siri, Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! dan Cabutan Prime Bonanza.

Antara hadiah utama yang ditawarkan ialah Honda CR-V, Jaecoo J7, Proton X50 Flagship, Perodua Ativa serta hadiah wang tunai.

Ahmad Dasuki berkata, kempen itu bukan sahaja bertujuan menghargai pendeposit, tetapi menjadi platform untuk menyemarakkan budaya menabung dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Perancangan kewangan untuk pendidikan perlu bermula sekarang. Simpanan kecil yang dibuat hari ini mampu membuka peluang pendidikan yang lebih besar kepada anak-anak pada masa hadapan.

“Jangan tunggu sehingga anak melangkah ke universiti. Mulakan simpanan sekarang kerana Simpan SSPN bukan sekadar simpanan, tetapi pelaburan terbaik demi masa depan pendidikan anak-anak,” katanya.

Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau muat naik aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat . – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast