MERUPAKAN anak jati yang berasal dari Kampung Linggi, calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Zamri Md Said bukan sosok asing dalam kalangan penduduk tempatan.
Ahli perniagaan itu juga pernah bertanding merebut kerusi DUN Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2023, meskipun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Faizal Ramli.
Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, beliau sekali lagi mencuba nasib dalam persaingan yang dilihat lebih sengit memandangkan perlu berdepan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam persaingan tiga penjuru.
Kepada MalaysiaGazette, Zamri berkongsi aspirasi dan agenda yang mahu dibawa beliau sekiranya diberikan kepercayaan untuk membawa suara dan harapan penduduk di DUN Linggi.

MalaysiaGazette: Bagaimana Datuk melihat peluang di DUN Linggi kali ini memandangkan bersaing dengan penyandang serta Menteri Besar?
Zamri: Saya akui lawan saya ada nama yang gah, seorang penyandang (Mohd Faizal) manakala seorang lagi Menteri Besar (Aminuddin). Tetapi dalam membuat keputusan untuk bertanding, perkara pertama yang saya fikirkan adalah apakah hala tuju saya. Dalam pilihan raya, nama-nama besar bukan faktor yang menentukan seseorang itu perlu bertanding atau tidak. Tetapi bagaimana setiap calon itu dapat menarik hati pengundi. Pengundi akan melihat komitmen setiap calon yang bertanding, serta bagaimana mereka dapat menarik hati pengundi. Alhamdulillah sejak hari pertama berkempen, penerimaan pengundi terhadap saya amat positif. Sama ada daripada masyarakat Melayu, Cina atau India, ada peningkatan sokongan. Apatah lagi saya juga anak jati di sini. Saya yakin berdasarkan pengalaman saya bertanding sebelum ini serta kerja-kerja di lapangan yang telah saya lakukan khususnya sejak enam tahun lalu, ramai penduduk Linggi sudah mengenali saya. Malah, ada yang memberitahu akan memberikan saya peluang kali ini.
MalaysiaGazette: Apa isu utama yang disuarakan penduduk sepanjang berkempen?
Zamri: DUN Linggi ini sebenarnya sangat sinonim dengan masalah banjir. Sejak dari saya masih kecil sehinggalah sekarang, masalah ini tidak pernah selesai. Banjir ini bukan sahaja di Kampung Linggi, tapi turut menjejaskan hampir 10 buah kampung lain di DUN Linggi ini. Apabila banjir berlaku, penduduk terpaksa tanggung kerugian sebab rumah mereka rosak. Begitu juga para peniaga apabila peralatan dan perkakasan mereka musnah. Malah, klinik kesihatan pun terpaksa ditutup disebabkan rosak akibat banjir. Jika ada penduduk yang sakit, mereka perlu pergi jauh untuk mendapatkan rawatan. Jadi penduduk mengharapkan tindakan drastik daripada kerajaan negeri supaya masalah banjir ini dapat ditangani.
MalaysiaGazette: Pembangunan di DUN Linggi kelihatan agak perlahan, apa komen Datuk.
Zamri: Saya akui pembangunan di DUN Linggi ini tidak setara dengan kawasan lain sedangkan pernah melahirkan Menteri Besar selama enam penggal. Sebab itu antara perjuangan saya juga adalah menyediakan infrastruktur asas dan pembangunan landskap. Ini termasuk kawasan untuk penduduk khususnya warga emas beriadah. Yang paling dekat pun perlu ke Port Dickson atau ke Seremban, tetapi ia melibatkan kos. Selain itu di sini juga langsung tidak ada pusat untuk pembangunan belia sama ada kolej, pusat latihan dan sebagainya. Kita bukan mahukan pembangunan yang mewah di sini, tetapi mahukan pembangunan asas yang bersesuaian untuk kemudahan, keselesaan dan kesejahteraan penduduk. Sebab di sini sebenarnya cawangan atau bank mini pun tidak ada. Yang ada hanya mesin ATM di kedai serbaneka. Jadi ini adalah perkara yang mahu saya perjuangkan di sini.

MalaysiaGazette: Bagaimana dengan usaha meningkatkan taraf hidup dan ekonomi penduduk?
Zamri: Kalau dari segi ekonomi setempat, memang tak banyak aktiviti ekonomi moden di sini. Rata-rata penduduknya hanya bekerja kampung sama ada nelayan, penoreh getah, pengusaha sawit atau kontraktor-kontraktor kecil. Kebanyakan mereka ini adalah warga emas dan berpendidikan rendah. Yang ada kelulusan dan pendidikan tinggi pula ramai yang berhijrah ke bandar berhampiran, sama ada ke Kuala Lumpur, Melaka, Seremban dan Port Dickson. Jadi apa yang saya mahu lakukan di sini adalah mempergiat industri-industri kecil dan sederhana serta melonjakkan industri kampung supaya dapat memberi pendapatan yang lebih baik kepada penduduk.
MalaysiaGazette: Apa komen Datuk berkenaan dakwaan Bersatu bertanding pada PRN Negeri Sembilan sekadar untuk memecah undi BN-PN?
Zamri: Saya tak bersetuju dengan dakwaan itu kerana Bersatu bertanding 24 kerusi DUN, jadi matlamat kita adalah jelas iaitu sebagai alternatif kepada rakyat Negeri Sembilan untuk membentuk kerajaan negeri. Kita juga merupakan parti yang matang. Walaupun baru berusia kira-kira 10 tahun, tapi sudah melahirkan dua Perdana Menteri. Jadi kita amat yakin kita mempunyai barisan kepimpinan yang mampu mentadbir kerajaan Negeri Sembilan. Dari segi jentera juga kita sangat lengkap, tidak ada kecacatan dan semua jentera itu pula merupakan anak-anak tempatan. Insya-Allah, Bersatu akan meneruskan perjuangan sehingga ke hujung waktu kempen supaya pengundi-pengundi dapat membuat keputusan yang terbaik. – MalaysiaGazette

















