JEMPOL – Keberanian mempertahankan prinsip, kesederhanaan dan perpaduan tanpa mengira perbezaan parti politik perlu dijadikan amalan semua pemimpin demi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan menyambut baik pendirian Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang lantang mempertahankan hak semua rakyat Malaysia serta menolak politik berasaskan sentimen perkauman.
“Kenyataan beliau yang membidas sikap celupar pimpinan Pas jelas mencerminkan suara hati majoriti rakyat Malaysia yang mendahagakan keharmonian dan menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk politik perkauman sempit yang saban hari dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN).
“Tindakan Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang seolah-olah mempertikaikan kesetiaan warga Cina dan India di Malaysia adalah amat tidak bertanggungjawab dan merosakkan ikatan perpaduan nasional,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Hakikatnya, Dr Sathia berkata, kaum India dan Cina di negara ini bukanlah ‘penumpang’ atau warganegara asing, sebaliknya mereka adalah anak watan.
“Mereka ini yang lahir, berbakti, dan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Malaysia serta Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” tegasnya.
Menurut beliau, pendirian Vigneswaran wajar dihargai kerana keberanian menyuarakan prinsip tidak seharusnya dinilai berdasarkan parti politik.
“Saya menghargai kenyataan Tan Sri Vigneswaran kerana beliau berani menyuarakan prinsip yang beliau percaya, walaupun ia bukan pandangan yang mudah untuk disampaikan dalam keadaan politik semasa.
“Walaupun beliau daripada MIC dan saya daripada PKR, saya percaya perkara yang betul tetap perlu dihargai tanpa mengira parti atau latar belakang politik seseorang.
“Dalam politik, keberanian untuk mempertahankan prinsip, kesederhanaan dan semangat Malaysia yang inklusif perlu dihormati,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia dibina atas asas kepelbagaian, dan setiap rakyat yang mempunyai kewarganegaraan Malaysia adalah sebahagian daripada tanah air ini.
“Saya berharap semua pemimpin, tidak kira daripada parti mana sekalipun, mempunyai prinsip dan keberanian untuk menyatakan pendirian apabila melibatkan kepentingan negara serta perpaduan rakyat.
“Kenyataan saya ini bukan untuk membodek sesiapa atau menyebelahi mana-mana pihak, tetapi kerana saya percaya inilah suara yang ingin didengar oleh masyarakat Malaysia sebuah politik yang matang,” katanya. – MalaysiaGazette
















