KUALA LUMPUR – Malaysia antara 60 ekonomi yang dikenakan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) antara 10 hingga 12.5 peratus susulan kegagalan negara terlibat melaksanakan dan menguatkuasakan larangan import barangan yang dihasilkan mengguna buruh paksa.
Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) dalam kenyataan memaklumkan, Malaysia dikenakan tarif sebanyak 10 peratus dan dikenakan di bawah Seksyen 301 yang mendakwa rakan dagang AS gagal melaksanakan larangan import barangan yang dihasilkan melalui buruh paksa.
Selain Malaysia, ekonomi lain yang dikenakan kadar tarif 10 peratus termasuk Indonesia, India, Bangladesh, Kemboja, Kanada, Mexico, Pakistan, Sri Lanka, United Kingdom, Argentina, Ecuador, El Salvador, Guatemala, Honduras, Jordan serta Trinidad dan Tobago.
“Amerika Syarikat telah melaksanakan larangan import berkaitan buruh paksa sejak hampir satu abad lalu dan menguatkuasakannya dengan tegas.
Sudah tiba masanya rakan dagang kami melakukan perkara yang sama,” kata Duta Perdagangan AS, Jamieson Greer.
Jelasnya, pelaksanaan itu atas arahan Presiden Donald Trump menerusi Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 selepas siasatan oleh USTR.
Menurut USTR, siasatan tersebut melibatkan dua pusingan pendengaran awam, lebih 2,100 komen daripada orang ramai serta penglibatan bersama rakan dagang AS bagi menangani isu buruh paksa yang berlarutan dalam rantaian bekalan global.
Beliau berkata, tindakan itu bertujuan menangani isu pencabulan hak asasi manusia selain membetulkan amalan perdagangan yang menjejaskan persaingan serta meningkatkan kebajikan pekerja di seluruh dunia.
USTR turut menetapkan kadar tarif 10 atau 12.5 peratus selepas mengambil kira kadar tarif negara paling diberi keutamaan (MFN) terhadap produk tertentu dari Kesatuan Eropah (EU), Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Switzerland yang tidak dikecualikan.
Bagi ekonomi lain yang terlibat dalam siasatan, kadar tarif ditetapkan pada 12.5 peratus.
Sebelum keputusan itu dibuat, USTR pada 12 Mac 2026 memulakan 60 siasatan terhadap ekonomi yang didakwa gagal mengenakan serta menguatkuasakan larangan import barangan yang dihasilkan melalui buruh paksa.
Pada 2 Jun lalu, USTR memutuskan tindakan, dasar dan amalan ekonomi terbabit berkaitan isu buruh paksa adalah tidak munasabah serta menjejaskan perdagangan AS, sekali gus boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 301.
Dalam masa sama, USTR turut menyediakan pengecualian tarif bagi kategori produk tertentu termasuk bahan mentah yang berisiko menyebabkan kekurangan bekalan domestik, produk yang boleh mencetuskan gangguan ekonomi serta barangan yang tidak dapat dihasilkan dalam kuantiti mencukupi atau pada harga munasabah di AS.
Pengecualian juga diberikan kepada produk tertentu dari beberapa ekonomi termasuk Malaysia sekiranya ia membantu negara terbabit memenuhi komitmen berkaitan larangan import buruh paksa atau memperkukuh penguatkuasaan undang-undang berkaitan. – MalaysiaGazette
















