Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki akan mengemukakan notis tuntutan terhadap seorang pemilik akaun media sosial yang didakwa memfitnahnya berhubung isu melibatkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, isu yang dibangkitkan oleh pemilik akaun dikenali sebagai Abied Abdullah didakwa mengaib dan menjatuhkan maruahnya walhal beliau tidak terlibat langsung dalam apa jua isu yang menyentuh TH.

Menurutnya, beliau telah mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat tuntutan terhadap pemilik akaun tersebut serta permohonan maaf dan menarik balik kenyataan yang dikeluarkannya.

Asyraf Wajdi berkata, jika tuntutan tersebut gagal dilaksanakan, peguamnya Datuk Adnan Seman akan mulakan prosiding saman RM5 juta terhadap pemilik akaun berkenaan kerana didakwa sengaja mencetuskan persepsi jahat untuk memfitnahnya.

“Barisan peguam saya akan siapkan notis tuntutan dan saman RM5 juta kerana posting fitnah ini telah tersebar secara meluas dan merosakkan reputasi saya.

“Sebagaimana kemenangan dalam kes-kes saman saya sebelum ini, Insya-Allah setiap sen yang saya dapat jika menang dalam kes saman RM5 juta ini, saya bertekad akan salurkan semuanya kepada YAYASAN PELAJARAN MARA.

“Ia untuk membantu anak-anak miskin yang hadapi kesukaran untuk menyambung pengajian ataupun menghadapi masalah kewangan dalam pembelajaran di mana-mana institusi pendidikan tinggi. Moga Allah permudahkan urusan ini,” ujarnya dalam hantaran di laman sosial Facebook hari ini.

Asyraf selanjutnya menyatakan, sejak awal lagi beliau tegas mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera terhadap sesiapa yang disyaki melakukan apa jua bentuk rasuah atau salah guna kuasa melibatkan TH.

Namun kata beliau, hingga kini tiada siapapun didakwa sebaliknya isu berkenaan ditimbulkan sewaktu kempen Pilihan Raya Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast