Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 24 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) tidak diterbitkan lebih awal atau kira-kira tiga tahun lalu kerana bimbang rakyat akan hilang keyakinan serta kepercayaan terhadap institusi tersebut.

Ini kerana jelas Perdana Menteri, kerugian akibat penyelewengan dana TH melibatkan nilai lebih RM10 bilion yang mana ia merupakan dana yang diambil daripada orang Melayu dan umat Islam.

“Ceritanya Tabung Haji ambil dana daripada orang kampung, orang Melayu, orang Islam. Kemudian berlaku penyelewengan, rugi lebih RM10 bilion.

“Tapi orang kritik saya mengapa tak terbitkan laporan itu.

“Saya kata pada masa itu, tiga tahun yang lalu, tak mampu kita terbitkan.

“Kalau kita terbitkan, rakyat hilang keyakinan kepada Tabung Haji. Dia tarik (seleweng) dana Tabung Haji. Tabung Haji sebagai badan akan lingkup,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.

Bagaimamanapun, menurut Anwar, sejak tiga tahun lalu, pengurusan TH sudah bertukar dan kini berada di bawah pengurusan Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Jelasnya, sejak itu juga, TH kembali bertapak semula di bawah Abdul Rashid yang diketahui mempunyai rekod pengurusan yang cemerlang.

Sebelum ini, Anwar memaklumkan, kerajaan sedia untuk mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH bagi membolehkan rakyat meneliti dakwaan penjualan aset strategik agensi itu sebelum ini.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, beliau akan merujuk Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, sama ada sedia untuk mendedahkan laporan itu selepas mesyuarat Kabinet Rabu depan.

Semalam, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, beliau pihak yang paling gembira jika kerajaan mengumumkan laporan RCI TH dalam tempoh terdekat, kerana yakin ia akan menunjukkan bagaimana institusi itu rosak di bawah pentadbiran UMNO.

Dakwa Rafizi lagi, hasil siasatan RCI juga membantu rakyat menghadam bagaimana sepak terajang politik melalui tindakan `suci-mensuci’ terutamanya oleh Pas, membawa kekeliruan di kalangan rakyat mengenai apa yang telah terjadi di TH.

Dalam reaksi terhadap isu itu juga, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, turut menggesa agar tiada mana-mana pihak dilindungi sekiranya hasil laporan RCI tersebut membuktikan berlaku penyelewengan, rasuah atau salah guna kuasa.

Ujarnya, rakyat bukan sekadar mahu melihat laporan itu didedahkan, tetapi mahu tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast