KUALA LUMPUR – Keadaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini baik selepas menjalani rawatan berkaitan prosedur koronari di Hospital Serdang hari ini.
Setelah angiogram koronari dan penilaian menyeluruh selesai dijalankan hari ini, pakar-pakar yang merawat mendapati bahawa angioplasti belon mahupun pemasangan stent tidak diperlukan.
Sebaliknya, penyumbatan tersebut boleh dikawal secara berkesan melalui ubat-ubatan, pemantauan perubatan berterusan dan rawatan susulan.
Keputusan untuk meneruskan prosedur hari ini dibuat sepenuhnya berasaskan keperluan perubatan dan penemuan klinikal yang ada pada ketika itu.
Memandangkan kebarangkalian yang tinggi bahawa intervensi lanjut akan diperlukan, kebimbangan terhadap prosedur tersebut adalah nyata dan berasas.
“Mujurlah, angiogram koronari tersebut menunjukkan bahawa penyumbatan itu boleh dikawal tanpa memerlukan angioplasti belon atau pemasangan stent,” kata Tetuan Shafee & Co dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, pihak keluarga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para pakar kardiologi, pakar kardiotorasik, jururawat serta seluruh pasukan perubatan di Pusat Kardiotorasik dan Kardiologi, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang atas profesionalisme, kepakaran dan penjagaan berdedikasi yang cemerlang sepanjang proses ini.
Pihak keluarga juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh rakyat Malaysia atas doa, sokongan dan ucapan baik yang berterusan, katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















