Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama warga FELDA pada Program Santai Perantau sempena 70 Tahun FELDA di Dewan Perdana FELDA, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 Julai 2026.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menyegerakan pembinaan rumah generasi kedua Felda yang tertangguh sekian lama bagi memastikan golongan peneroka mendapat penempatan yang lebih selesa.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelaksanaan projek perumahan itu memerlukan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkaitan bagi menyediakan kemudahan utiliti termasuk air dan elektrik terlebih dahulu.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, satu kertas dasar akan disediakan dalam tempoh sebulan untuk dibentangkan dalam mesyuarat bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri agar pelaksanaan rumah kedua generasi Felda menjadi kenyataan.

“Keputusan sudah kita buat, cuma pelaksanaannya memerlukan penglibatan kerajaan negeri termasuk penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.

“Seminggu dua lalu, TNB (Tenaga Nasional Berhad) telah diarah (memasang elektrik), dapat buat sementara pun tak apa. Saya tidak mahu dengar masalah jalan atau air kerana itu masalah dengan kerajaan negeri,” ujarnya ketika berucap pada Program Santai Perantau sempena sambutan 70 Tahun Felda di sini malam ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika perasmian Program Santai Perantau sempena 70 Tahun FELDA di Dewan Perdana FELDA, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 Julai 2026.

Perdana Menteri turut mengarahkan pengurusan Felda mengemukakan laporan kemajuan setiap bulan supaya pelaksanaan semua inisiatif dapat disegerakan.

“Kadang-kadang saya tak salahkan rakyat. Kita umum, pelaksanaan itu orang bosan tunggu. Saya tak mahu ada masalah dari sudut kelewatan,” katanya.

Ujar Anwar, jika wujud sebarang kekangan termasuk isu kewangan, beliau akan mempertimbangkan perkara tersebut dengan Kementerian Kewangan untuk memberikan sebahagian bantuan yang diperlukan.

Menyentuh mengenai Akta Felda, beliau mengakui perkara tersebut mengambil masa untuk dimuktamadkan dan dijangka dibentangkan kepada Kabinet sebelum akhir tahun ini.

Ia melibatkan pindaan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) bagi membolehkan pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas satu lot kediaman milik peneroka Felda.

“Isu berkaitan Akta Felda tiada masalah jika dipersetujui oleh Felda dan Kerajaan Persekutuan serta tidak dibantah oleh kerajaan negeri.

“Sebaik-baiknya akta itu diluluskan bagi membolehkan sebarang hal berkaitan perundangan yang tertangguh dapat diselesaikan tanpa ada isu berbangkit. Sementara saya ada (masih Perdana Menteri), hal ini saya selesaikan dahulu,” ujarnya.

Pada 7 Julai lalu, Anwar mengumumkan tujuh inisiatif baharu sempena Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA termasuk peruntukan RM990 juta bagi membiayai semula pinjaman Sukuk FELDA serta penghapusan hutang peneroka.

Kerajaan turut memperuntukkan lebih RM1 bilion pada tahun hadapan bagi meneruskan usaha membantu peneroka FELDA termasuk penyelesaian isu perumahan yang menjadi antara kebimbangan golongan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast