Calon PH DUN Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim.

PILAH – Isu kadar sewa tapak yang didakwa membebankan peniaga kecil di sekitar Kuala Pilah akan diberi perhatian serius sekiranya Pakatan Harapan (PH) terus diberi mandat mentadbir kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Calon PH DUN Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, perkara itu merupakan antara aduan yang paling kerap diterimanya sepanjang tempoh berkempen ketika turun padang bertemu rakyat di pelbagai lokasi.

Menurutnya, aduan sama sekali lagi dibangkitkan ketika beliau mengadakan sesi walkabout di Pasar Malam Melang apabila ramai peniaga meluahkan kebimbangan mengenai kadar sewa tapak yang disifatkan agak tinggi.

Beliau berkata, isu berkenaan bukanlah perkara baharu, malah telah beberapa kali disuarakan oleh peniaga sejak siri kempennya bermula.

“Sejak turun berkempen dari hari pertama lagi, saya menerima banyak maklum balas daripada peniaga mengenai perkara ini. Apabila saya ke Pasar Malam Melang, aduan yang sama sekali lagi dibangkitkan.

“Ini menunjukkan isu tersebut benar-benar memberi kesan kepada mereka dan bukan sekadar aduan terpencil,” katanya baru-baru ini.

Penyandang Dun Pilah itu berkata, beliau memahami cabaran yang dihadapi peniaga kecil ketika kos operasi semakin meningkat dan mereka berusaha mengekalkan perniagaan bagi menyara keluarga.

Katanya, golongan peniaga kecil merupakan antara tulang belakang ekonomi tempatan kerana bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, malah menjadi penggerak kepada aktiviti ekonomi harian di kawasan Pilah.

“Saya mengambil serius setiap pandangan dan aduan yang disampaikan. Perkara ini akan saya teliti dengan lebih mendalam supaya satu penyelesaian yang adil, praktikal dan memberi manfaat kepada semua pihak dapat diusahakan,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, sebarang penyelesaian perlu mengambil kira kebajikan peniaga tanpa mengabaikan keperluan pihak berkuasa tempatan dalam menguruskan kemudahan awam.

Menurutnya, pendekatan terbaik ialah mendapatkan pandangan semua pihak sebelum sesuatu keputusan dibuat agar penyelesaian yang dicapai bersifat menang-menang.

Dalam pada itu, Noorzunita berkata, beliau akan terus mengekalkan pendekatan turun padang sepanjang tempoh kempen bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan rakyat dapat didengar secara langsung.

Katanya, sesi walkabout bukan sekadar bertemu pengundi, sebaliknya menjadi platform untuk memahami sendiri denyut nadi masyarakat dan cabaran sebenar yang dihadapi mereka dalam kehidupan seharian.

“Saya percaya setiap pertemuan bersama rakyat mempunyai nilai yang besar. Apabila kita mendengar sendiri masalah mereka, kita lebih memahami apa yang benar-benar diperlukan dan bagaimana penyelesaiannya boleh diusahakan,” Jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para peniaga dan pengunjung Pasar Malam Melang yang sudi meluangkan masa berkongsi pandangan serta cadangan sepanjang sesi walkabout tersebut.

Katanya, sokongan dan kepercayaan yang diberikan menjadi pembakar semangat untuk beliau terus berkhidmat kepada masyarakat serta memperjuangkan kebajikan rakyat di Pilah sekiranya diberi mandat sekali lagi pada PRN Negeri Sembilan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast