Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap pelarian Rohingya yang didakwa mengganggu lalu lintas dan ketenteraman awam di ibu negara.

Beliau menegaskan, tiada mana-mana pihak boleh bertindak sewenang-wenangnya tanpa mematuhi undang-undang negara ini.

Menurutnya, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu, termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang didapati melanggar peraturan atau menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk tempatan.

“Negara ini ada peraturan dan undang-undang. Mereka tidak boleh memilih mana-mana kawasan bandar sesuka hati sehingga mengganggu lalu lintas dan keselamatan awam.

“Saya telah arahkan Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan tegas. Mereka yang tidak mempunyai permit yang sah perlu dibawa ke pihak imigresen, manakala yang mempunyai dokumen berkaitan akan diberi amaran sebelum tindakan undang-undang diambil,” katanya kepada media ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Wakaf Dakwah di sini, hari ini.

Hadir sama Premier Sarawak, Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg yang merupakan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

Anwar berkata demikian ketika mengulas isu pelarian Rohingya yang dilaporkan berkumpul di beberapa lokasi sehingga menimbulkan rungutan dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurut perdana menteri, status perlindungan di bawah UNHCR tidak bermakna seseorang itu bebas untuk mengabaikan undang-undang Malaysia.

“Saya faham mereka mendapat perlindungan UNHCR, tetapi mereka masih perlu mematuhi peraturan negara. Kita tidak boleh membenarkan keadaan yang boleh menjejaskan keselamatan dan menimbulkan keresahan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Pada masa sama, Anwar mengingatkan pihak penguat kuasa supaya melaksanakan tindakan secara berhemah dan mengambil kira aspek kemanusiaan, khususnya melibatkan wanita dan kanak-kanak.

“Saya juga telah berpesan kepada pihak polis dan imigresen supaya berhati-hati dalam melaksanakan tindakan, terutama jika melibatkan wanita dan anak-anak.

“Namun, tindakan tegas tetap perlu diambil. Kita tidak boleh mengizinkan mana-mana pihak mengambil alih atau menduduki sesuatu kawasan dalam negara ini tanpa menghormati undang-undang yang berkuat kuasa,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast