Naib Canselor USM menerima mandat daripada Anwar Ibrahim.

SEBERANG PERAI – Perdana Menteri merakamkan ucapan tahniah kepada Universiti Sains Malaysia (USM) atas pengiktirafan sebagai pembangun bakat semikonduktor negara serta peneraju dalam pembangunan ekosistem semikonduktor bumiputera.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pencapaian tersebut sebagai langkah strategik yang selari dengan aspirasi negara untuk memperkukuh industri semikonduktor berteknologi tinggi, di samping melahirkan lebih ramai bakat dan tenaga pakar tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.

Bagi merealisasikan agenda tersebut, Kerajaan Madani memperuntukkan dana sebanyak RM5 juta kepada USM bagi membangunkan Hab Semikonduktor bumiputera.

Perdana Menteri berharap USM dapat memanfaatkan peruntukan berkenaan dengan meneroka idea baharu, memperkukuh penyelidikan dan inovasi serta menghimpunkan kepakaran daripada ahli akademik, industri, dan rakan strategik
bagi mempercepat pembangunan ekosistem semikonduktor bumiputera yang mampan, berdaya saing, dan mampu menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam masa yang sama, USM melalui Pejabat Jaringan Industri, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) diberi kepercayaan oleh Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan,
Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk menonjolkan keunggulan universiti dalam pembangunan bakat, penyelidikan, dan teknologi semikonduktor melalui penyediaan reruai khas sempena Penang International Halal Expo (PIHEX) dan Himpunan
Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (HUBPP) 2026.

Bertempat di Politeknik Seberang Prai, pameran pada hari pertama dan kedua memberi tumpuan kepada rekabentuk cip, penyelidikan pembangunan cip, pembuatan wafer GaN, pembangunan prototaip LED, penyelidikan berkaitan ‘Advanced Packaging’ serta syarikat-syarikat terbitan dalam bidang berkaitan.

Antara Pusat Tanggungjawab (PTj) USM yang terlibat ialah Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC), Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR), dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik.

Reruai USM turut disertai oleh Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) yang mempromosikan program pengajian sambilan dan APEL (Accreditation of Prior Experiential Learning).

Program pembangunan bakat MRI3 dan SIAP juga diketengahkan oleh Pejabat Jaringan Industri, BJIM dan CEDEC.

Pemerkasaan sektor semikonduktor digerakkan secara menyeluruh melalui kerjasama erat antara USM dengan rakan industri strategik, agensi kerajaan, dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

USM terus komited dalam menjayakan agenda negara iaitu Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Usaha bersepadu ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan teknologi, malah turut menyumbang kepada pembinaan bakat bertaraf dunia yang mampu memacu Malaysia ke arah ekonomi bernilai tinggi dan berdaya saing di peringkat global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast