Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjalinkan kerjasama dengan Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB) sebagai Syarikat Pengendali Takaful (SPT) yang baharu mulai 1 Julai 2026 bagi memperkukuh produk Simpan SSPN Plus.

PTPTN berkata, pelantikan ZTMB sebagai rakan strategik mencerminkan komitmen berterusan agensi itu untuk memperkukuh ekosistem Simpan SSPN Plus melalui kerjasama dengan SPT yang berwibawa.

Tambahnya, langkah itu bukan sahaja memperluaskan pilihan kepada pelanggan, malah meningkatkan lagi nilai tambah produk Simpan SSPN Plus sebagai instrumen simpanan pendidikan yang menggabungkan elemen simpanan dan perlindungan takaful secara menyeluruh.

Selain ZTMB, produk Simpan SSPN Plus sebelum ini melibatkan kerjasama strategik dengan tiga SPT iaitu Hong Leong MSIG Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad dan Takaful Ikhlas Family Berhad.

Penambahan ZTMB sebagai SPT baharu akan memberi lebih banyak pilihan kepada pendeposit untuk mendapatkan perlindungan takaful yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.

Pakej yang ditawarkan oleh ZTMB juga akan memastikan pelanggan terus menikmati manfaat perlindungan yang komprehensif dengan mengekalkan keistimewaan produk Simpan SSPN Plus.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, kerjasama dengan ZTMB merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan PTPTN untuk memperluaskan akses kepada produk simpanan pendidikan yang dilengkapi perlindungan takaful yang berkualiti di samping memperkukuh nilai tambah produk Simpan SSPN Plus.

“Sejak diperkenalkan, Simpan SSPN Plus bukan sahaja membantu ibu bapa dan penjaga membuat perancangan kewangan bagi pendidikan tinggi anak-anak, malah turut menyediakan perlindungan takaful sebagai jaminan kewangan kepada keluarga sekiranya berlaku musibah.

“Dengan penyertaan Zurich Takaful Malaysia Berhad, kami yakin pelanggan akan memperoleh pengalaman yang lebih baik melalui pilihan perlindungan yang lebih pelbagai dan berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan.

Simpan SSPN Plus merupakan produk simpanan pendidikan yang menawarkan enam pilihan pakej dengan komitmen bulanan bermula serendah RM30 bagi Pakej Intan sehingga RM500 bagi Pakej Berlian dengan manfaat tambahan di samping sumbangan premium yang murah.

Melalui kerjasama dengan Zurich Takaful Malaysia Berhad, Simpan SSPN Plus menyediakan perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, manfaat takaful penyakit kritikal, manfaat khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan sehingga tiga orang anak, elaun kemasukan ke hospital serta perlindungan takaful kepada pendeposit sehingga mencapai umur 65 tahun.

Selain itu, Simpan SSPN Plus menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pendeposit, antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin oleh Kerajaan dan patuh syariah.

Proses pembukaan akaun juga adalah mudah dan tidak memerlukan pemeriksaan kesihatan bagi semua pakej kecuali Pakej Berlian. Bagi pakej tersebut, pendeposit hanya perlu menjawab tiga soalan kesihatan tanpa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

PTPTN yakin kerjasama strategik ini akan terus memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap Simpan SSPN Plus sebagai pilihan utama simpanan pendidikan di Malaysia.

Produk ini bukan sahaja membantu ibu bapa dan penjaga merancang pembiayaan pendidikan tinggi anak-anak secara sistematik, malah turut menawarkan perlindungan kewangan yang komprehensif bagi menjamin kesejahteraan keluarga.

Maklumat lanjut mengenai Simpan SSPN Plus layari portal rasmi PTPTN di ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN bagi perkhidmatan secara lebih mudah, cepat dan selamat. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast