Calon Perikatan Nasional (PN) N.13 Sikamat, Datuk Razali Abu Samah bercakap kepada MalaysiaGazette semasa berkempen di sekitar Taman Desa Rhu, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

SEREMBAN – Calon Perikatan Nasional (PN) N.13 Sikamat, Datuk Razali Abu Samah tidak mahu terjebak dengan budaya menabur janji sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Sebaliknya bekas Timbalan Ketua Polis Melaka itu sebaliknya berkata, beliau memilih untuk menawarkan kepimpinan yang berpaksikan kepada suara rakyat.

Beliau berkata, sekiranya diberikan mandat oleh pengundi, keutamaannya adalah menjadi wakil rakyat yang mudah ditemui, mudah didekati dan sentiasa bersama masyarakat.

“Saya menggunakan empat prinsip dalam mendekati rakyat. Pertama saya mendengar, kedua saya melihat, ketiga saya mengkaji dan selepas itu barulah kita duduk bersama masyarakat untuk membuat keputusan.

“Keputusan itu bukan keputusan seorang, tetapi keputusan secara kolektif. Saya tidak mahu berjanji.

“Namun apabila dipilih menjadi wakil rakyat DUN Sikamat, saya akan kotakan amanah untuk sentiasa bersama masyarakat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas berkempen di sekitar Sikamat, di sini, hari ini.

Razali berkata, pertandingan di Sikamat bukan mengenai siapa yang lebih hebat atau berpengaruh, sebaliknya mengenai idea, prinsip dan keyakinan yang mampu ditawarkan kepada rakyat.

“Pendekatan itu diyakini lebih sesuai dengan kehendak pengundi yang mahukan pemimpin sentiasa mendengar masalah mereka sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Beliau turut menegaskan setiap dasar atau tindakan yang bakal dilaksanakan kelak tidak akan diputuskan secara bersendirian, sebaliknya mengambil kira pandangan pelbagai pihak supaya manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh masyarakat.

Razali berdepan pertandingan tiga penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH), Nor Azman Mohamad yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Negeri Sembilan serta Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast