Pertukaran dokumen antara Kasim dan Grace sebagai simbolik kerjasana strategik antara UMS dan CF Learning.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bersama CF Learning Sdn. Bhd. bagi memperluaskan akses kepada program pembelajaran fleksibel yang memenuhi keperluan industri dan masyarakat.

Melalui kerjasama strategik tersebut UMS dan CF Learning akan membangunkan serta menawarkan pelbagai inisiatif PSH.

Ini termasuk kursus jangka pendek, program peningkatan kemahiran, latihan semula dan mikrokredensial sebagai usaha memenuhi keperluan pembelajaran, peningkatan kompetensi dan pembangunan bakat bagi individu, organisasi serta industri sejajar dengan tuntutan ekonomi dan dunia pekerjaan masa kini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam membangunkan ekosistem pembelajaran yang lebih inklusif, fleksibel dan responsif terhadap perubahan landskap pendidikan serta industri.

Inisiatif tersebut katanya diyakini mampu membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat, khususnya golongan belia dan tenaga kerja, untuk meningkatkan kompetensi yang selari dengan kehendak pasaran pekerjaan.

“Kerjasama ini turut memperkukuh kedudukan UMS sebagai institusi pendidikan tinggi yang sentiasa komited menyampaikan ilmu, kepakaran dan penyelesaian pembelajaran yang memberi impak kepada pembangunan masyarakat dan negara.

“Dalam era ini, institusi pengajian tinggi perlu memperkukuh hubungan strategik dengan rakan industri bagi memastikan pembangunan kurikulum dan latihan profesional sentiasa relevan,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian MoA
berkenaan di Bangunan Canselori, UMS baru-baru ini.

Mengulas lanjut, kerjasama yang dimeterai itu bukan sekadar memperluaskan jaringan kolaborasi, malah menjadi platform untuk menggabungkan kepakaran akademik universiti dengan pengalaman serta keperluan sebenar industri.

Pihak UMS juga katanya, yakin kerjasama berkenaan akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif berimpak tinggi yang menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran graduan, pengukuhan kompetensi tenaga kerja dan pembangunan
sosioekonomi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast