Orang awam dan pelancong tidak melepaskan peluang menyaksikan gelagat orang utan di Semenggoh Wildlife Centre, Sarawak. FOTO MUHAIMIN MARWAN, 19 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Sektor pelancongan domestik Malaysia merekodkan pertumbuhan yang memberansangkan pada tahun 2025 dengan jumlah perbelanjaan pelawat domestik meningkat 13.6 peratus kepada RM121.3 bilion, berbanding RM106.7 bilion pada 2024.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, pertumbuhan perbelanjaan pelawat domestik pada tahun 2025 disokong oleh peningkatan perbelanjaan kedua-dua kategori pelawat iaitu pelancong dan pelawat harian, yang masing-masing merekodkan pertumbuhan 14.6 peratus dan 12.2 peratus.

Jumlah pelawat domestik meningkat sebanyak 11.5 peratus kepada 290.1 juta orang pada tahun 2025 berbanding 260.1 juta orang pada tahun 2024.

Purata bilangan hari menginap juga meningkat kepada 2.56 malam berbanding 2.49 malam pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, berdasarkan perspektif corak perjalanan menunjukkan majoriti pelawat domestik masih bergantung kepada pengangkutan darat yang merangkumi 97.5 peratus daripada keseluruhan perjalanan domestik pada tahun 2025.

Dari segi jenis penginapan, rumah saudara-mara dan rakan kekal menjadi pilihan utama dengan sumbangan sebanyak 56.2 peratus daripada jumlah pelancong.

Walau bagaimanapun, penggunaan penginapan berbayar terus meningkat dengan mencatatkan sumbangan 43.8 peratus berbanding 39.6 peratus pada tahun 2024, dengan hotel kekal sebagai pilihan utama iaitu menyumbang 23.1 peratus daripada keseluruhan penginapan.

Dari segi tujuan perjalanan, melawat saudara-mara dan rakan-rakan terus menjadi tujuan utama perjalanan yang merangkumi 35.6 peratus daripada jumlah keseluruhan perjalanan, diikuti oleh aktiviti membeli-belah sebanyak 24.6 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast