CHENNAH – Perdana Menteri mendedahkan laporan yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri menunjukkan Tabung Haji (TH) mengalami kerugian kira-kira RM10 bilion sekali gus mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap sebarang unsur salah guna kuasa atau pelanggaran yang dikenal pasti.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut memutuskan supaya laporan berhubung kedudukan TH itu didedahkan kepada umum sebagai tanda komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan akauntabiliti.
Menurutnya, siasatan akan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) serta agensi berkaitan sebelum sebarang tindakan undang-undang diputuskan.
“Mereka cabar saya, kata kalau berani dedahkan laporan Tabung Haji. Saya jawab, dedahkan. Hari ini Jemaah Menteri putuskan supaya laporan itu didedahkan kepada rakyat.
“Mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian, penipuan atau salah guna kuasa akan disiasat oleh PDRM, SPRM, Bank Negara dan agensi berkaitan. Kalau ada bukti, kita dakwa. Biar mahkamah yang tentukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Minum Petang Bersama Perdana Menteri di Kampung Simpang Durian, hari ini.
Anwar tidak mahu menuduh mana-mana individu sebelum proses siasatan selesai, namun menegaskan semua pihak yang didapati melanggar undang-undang perlu dibawa ke muka pengadilan.
Katanya, laporan yang dibentangkan oleh Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Rashid Hussain kepada Jemaah Menteri mendapati kerugian itu berpunca daripada pelaburan yang tidak mengikut peraturan selain kelemahan dalam tadbir urus.
“Tadi Tan Sri Rashid Hussain memberi taklimat kepada Jemaah Menteri. Kerugiannya mencecah RM10 bilion. Ia berlaku kerana tidak mengikut peraturan, pelaburan yang salah dan pelbagai masalah lain dalam pengurusan,” katanya.
Menurut Anwar, isu berkenaan bukan sesuatu yang baharu kerana Bank Negara telah mengeluarkan teguran kepada TH seawal 2014 berhubung pelanggaran yang dikesan dalam pengurusannya.
Katanya, amaran itu bagaimanapun tidak diberikan perhatian sewajarnya sehingga mengakibatkan kerugian yang besar kepada institusi berkenaan.
“Pada tahun 2014, Gabenor Bank Negara telah menulis kepada TH memaklumkan terdapat pelanggaran tetapi ia tidak dipedulikan.
“Takkan kita hendak biarkan perkara seperti ini berterusan,” ujarnya.
Anwar berkata, TH merupakan institusi yang amat penting kepada umat Islam kerana mengurus simpanan rakyat untuk menunaikan ibadah haji dan umrah.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang penyelewengan yang menjejaskan amanah pendeposit dan keyakinan rakyat terhadap institusi berkenaan.
“Saya tidak mahu tuduh sesiapa. Biar PDRM, SPRM dan Bank Negara menjalankan siasatan.
“Tetapi jika ada bukti, tindakan mesti diambil mengikut undang-undang. Biar mahkamah menentukan dan yang bersalah bertanggungjawab atas perbuatan mereka,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















