Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G. Manivanan

JEMPOL– Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Manivanan Gowin menegaskan cabaran debat terbuka yang dikemukakannya kepada calon Barisan Nasional (BN) bukan bertujuan mencari salah atau memalukan mana-mana pihak.

Sebaliknya Manivanan berkata, pentas itu sebagai platform terbaik untuk rakyat menilai kemampuan dan hala tuju setiap calon dalam memperkenalkan hala tuju kepada rakyat.

Menurutnya, alasan calon BN, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir yang menolak debat kerana tidak mahu ‘terperangkap’ menimbulkan persoalan sama ada beliau benar-benar bersedia mempertahankan rekod serta menawarkan idea baharu kepada pengundi.

“Jika benar pemimpin mahu bercakap mengenai penyelesaian masalah rakyat maka debat terbuka adalah medan paling sesuai untuk membentangkan penyelesaian itu secara telus kepada rakyat.

“Saya tidak mengajak untuk bertikam lidah atau menyerang peribadi. Saya hanya mahu rakyat mendengar sendiri jawapan berhubung isu pembangunan, kemudahan asas, peluang ekonomi, kebajikan masyarakat serta hala tuju Jeram Padang,” katanya hari ini.

Manivanan menghormati keputusan calon BN untuk menolak cabaran tersebut namun menyifatkan alasan yang diberikan seolah-olah mengelak daripada berhadapan dengan persoalan rakyat secara terbuka.

Beliau turut menepis kenyataan yang mengaitkannya dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Kuala Langat sambil menegaskan, kempen kali ini sepatutnya tertumpu kepada masa depan Jeram Padang bukan mengungkit sejarah politik individu.

Sepanjang tempoh berkempen, beliau telah turun padang bertemu masyarakat di kawasan FELDA, FELCRA, taman perumahan, kampung Orang Asli, estet serta komuniti pelbagai kaum bagi mendengar sendiri keperluan dan harapan mereka.

“Saya kekal bersedia untuk berdebat pada bila-bila masa dalam suasana profesional, beradab dan berpaksikan fakta. Jika benar yakin dengan rekod serta tawaran sendiri, tiada sebab untuk takut tampil di hadapan rakyat,” katanya.

Kerusi DUN Jeram Padang bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru apabila penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, dicabar oleh G. Manivannan (Pakatan Harapan), Datuk R. Sri Sanjeevan (Bersatu) dan Dayana Dal daripada Parti Orang Asli Malaysia (POAM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast