GEORGE TOWN – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mendakwa mekanisme penyertaan automatik dengan pilihan keluar (opt-out) bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam Perkeso) bercanggah dengan pengumuman kerajaan bahawa skim itu bersifat sukarela.
Timbalan presidennya, Oh Tong Keong berkata, walaupun pelaksanaan skim itu bertujuan melindungi golongan pekerja dan wajar dipuji namun tindakan kerajaan melaksanakannya secara tergesa-gesa serta gagal menyampaikan maklumat yang jelas menimbulkan kecelaruan dari segi pelaksanaannya.
Beliau berkata, kontroversi terbesar membabitkan mekanisme penyertaan secara automatik dengan pilihan keluar (opt-out) kerana pekerja yang tidak membuat pengisytiharan keluar melalui sistem Perkeso sebelum 31 Ogos ini berkemungkinan terus dikenakan potongan caruman dan dianggap bersetuju menyertai skim itu.
“Keadaan ini jelas bercanggah dengan apa yang dikatakan kerajaan bahawa skim ini adalah bersifat sukarela. Ramai pekerja menyangka apabila kerajaan mengumumkan skim itu menjadi sukarela, potongan caruman akan dihentikan secara automatik.
“Hakikatnya, jika pekerja tidak mengambil tindakan untuk keluar daripada skim itu, mereka masih boleh terus dikenakan potongan caruman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Tong Keong, pendekatan yang mewajibkan pekerja membuat pengisytiharan keluar daripada skim itu berpotensi menyebabkan ramai pekerja terus mencarum tanpa mereka sedari.
“Perubahan dasar daripada pelaksanaan secara wajib kepada penyertaan secara sukarela turut menyebabkan banyak syarikat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta jabatan sumber manusia berdepan kesukaran kerana perlu mengubah sistem penggajian dalam tempoh singkat selain membantu pekerja menguruskan proses keluar daripada skim berkenaan.
“Sehubungan itu, kita menggesa Kementerian Sumber Manusia menjelaskan mengapa proses rundingan, persediaan dan penyampaian maklumat tidak dilakukan dengan sempurna sebelum dasar itu diumumkan.
“Kita juga mencadangkan agar kerajaan menukar mekanisme sedia ada kepada penyertaan secara sukarela melalui permohonan sendiri (opt-in) selain mendedahkan asas pengiraan kadar caruman 0.75 peratus, penggunaan dana serta mekanisme pengurusannya secara telus dan membenarkan pemantauan bebas,” katanya.
Media pada 8 Julai lalu melaporkan kerajaan memutuskan caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak lagi diwajibkan kepada pekerja tempatan, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, bagaimanapun caruman Lindung 24 Jam kekal mandatori bagi pekerja asing dan akan terus dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. – MalaysiaGazette
















