Peniaga dan pengundi, Puspha Ramasamy di Pekan Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Foto FAREEZ FADZIL, 28 JULAI 2026.

KUALA PILAH –  Kerajaan Pakatan Harapan diakui oleh rata-rata pengundi telah melaksanakan pelbagai perubahan dan pembangunan telah berlaku di daerah itu sepanjang pentadbirannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Namun pada mereka, rekod tersebut sahaja belum memadai sekiranya isu yang terus membelenggu kehidupan harian rakyat tidak ditangani dengan lebih menyeluruh.

Berikutan itu, para pengundi menaruh harapan pentadbiran akan datang perlu memberi fokus kepada isu kehidupan rakyat  seperti peningkatan kos sara hidup, peluang pekerjaan, kelangsungan perniagaan kecil serta kesinambungan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurut mereka, kesejahteraan ekonomi keluarga tidak boleh dipinggirkan walaupun pembangunan fizikal penting.

Bagi peniaga kecil di Stesen Bas Pilah, Puspha Ramasamy, 46, perkara yang paling merisaukan ketika ini ialah peningkatan kos menjalankan perniagaan yang  memberi kesan besar kepada pendapatan peniaga kecil.

Apabila berdepan dengan cabaran itu, dia tidak lagi meletakkan soal parti sebagai keutamaan dalam memilih pentadbiran kerajaan negeri sebaliknya berharap mana-mana kerajaan yang dipilih nanti dapat menjalankan amanah dengan baik serta menggubal dasar yang benar-benar membantu rakyat.

“Bagi saya, siapa pun kerajaan yang memerintah, kita sokong. Yang penting mereka senangkan rakyat dan buat tanggungjawab dengan betul,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Peniaga dan pengundi, Puspha Ramasamy di Pekan Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Foto FAREEZ FADZIL, 28 JULAI 2026.

Puspha berkata, sejak kira-kira dua tahun lalu, hampir semua kos berkaitan perniagaan meningkat termasuk lesen, cukai, sewa tapak, bil utiliti dan kos mendapatkan bekalan, menyebabkan margin keuntungan peniaga semakin mengecil.

Menurutnya, kenaikan harga bahan api turut memberi kesan berantai kepada kos penghantaran barang, sekali gus memaksa peniaga menaikkan harga jualan walaupun sedar pelanggan juga sedang berdepan tekanan ekonomi.

“Semua naik mendadak. Lesen naik, cukai naik, sewa pun naik. Bila kita naikkan harga barang, pelanggan pula marah sebab mereka tak nampak kos yang kami tanggung setiap hari,” rungutnya.

Tambah beliau, cabaran itu menjadi lebih besar apabila peniaga kedai fizikal kini terpaksa bersaing dengan jualan dalam talian yang mampu menawarkan harga lebih rendah kerana tidak menanggung kos operasi seperti sewa premis, lesen perniagaan dan bil utiliti.

Katanya, keadaan itu menyebabkan semakin ramai pelanggan beralih kepada pembelian secara dalam talian, akhirnya memberi kesan kepada jualan harian peniaga kecil yang bergantung kepada pelanggan yang datang ke kedai.

Wanita ini menambah, walaupun pelbagai bentuk bantuan dan subsidi yang disediakan kerajaan dapat membantu, tetapi mekanisme sedia ada masih boleh diperkasakan supaya lebih ramai peniaga kecil benar-benar merasai manfaatnya.

”Kita harap kerajaan menang nanti memperkenalkan lebih banyak insentif yang dapat membantu mereka terus bertahan dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi pengundi, Elizabeth berkata, beliau masih yakin dengan kepimpinan PH kerana melihat sendiri pelbagai pembangunan yang telah dibawa ke Kuala Pilah sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, pembinaan Hospital Kuala Pilah yang baharu merupakan antara perubahan paling ketara yang memberi manfaat kepada penduduk, selain menjadi bukti usaha kerajaan meningkatkan kemudahan awam di daerah itu.

Pesara yang juga pengundi Dun Pilah, Elizabeth

“Saya memang sokong PH dan akan beri sokongan penuh. Saya harap pengundi di Kuala Pilah juga dapat memberi sokongan penuh kepada calon PH.

“Kuala Pilah ada banyak peningkatan, terutama hospital baharu yang jauh lebih besar. Saya harap pembangunan seperti ini dapat diteruskan,” ujarnya.

Seorang lagi pengundi, Tan Wee Kiong pula mahu, pentadbiran baharu kerajaan negeri memberi perhatian perlu diberikan kepada usaha memperkukuh ekonomi tempatan agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan, khususnya untuk golongan muda.

Menurutnya, masih ramai penduduk menyuarakan kebimbangan mengenai peluang pekerjaan dan berharap kerajaan yang bakal dibentuk nanti dapat memberi tumpuan kepada isu berkenaan.

Tan Wee Kiong bercakap dengan calon PH Dun Pilah baru-baru ini.

“Ramai orang tak ada kerja. Itu yang orang selalu cakap sekarang. Siapa yang baik, kita bagi sokongan kepada dia,” katanya.

Beliau berkata, apa yang lebih penting ialah memastikan ekonomi terus berkembang kerana keadaan itu bukan sahaja mampu meningkatkan taraf hidup rakyat, malah membantu mengekalkan keharmonian dalam masyarakat.

“Kita mahu ekonomi baik saja. Tak mahu gaduh-gaduh,” katanya.  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast