Calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Mohd Aidil Abdullah

JUASSEH – Penyelesaian isu bekalan air bersih, capaian internet, pencahayaan jalan serta projek jalan yang telah lama tertangguh menjadi antara komitmen yang ditawarkan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Guntur dan Chergun menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Mohd Aidil Abdullah berkata, kemudahan asas berkenaan perlu diberi perhatian segera bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak terus ketinggalan menikmati pembangunan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program bersama penduduk Kampung Orang Asli Guntur, petang ini yang turut dihadiri Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Menurut Mohd Aidil, isu bekalan air bersih masih menjadi antara kebimbangan utama penduduk kerana terdapat kawasan yang menerima bekalan melalui sistem berbeza, menyebabkan sebahagian isi rumah berdepan gangguan bekalan.

Beliau berkata, usaha menambah baik sistem bekalan air termasuk penyambungan paip akan diberi perhatian supaya penduduk menikmati bekalan yang lebih stabil dan berterusan.

Selain itu, katanya, masalah capaian internet di beberapa lokasi dalam kampung juga perlu diselesaikan memandangkan kemudahan digital kini menjadi keperluan penting dalam kehidupan seharian.

Menurut beliau, pengalaman ketika pandemik Covid-19 membuktikan masih terdapat kawasan yang mempunyai liputan internet lemah sehingga pelajar terpaksa keluar dari kampung semata-mata untuk mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.

Beliau berkata, keadaan itu tidak seharusnya berulang kerana akses internet kini penting bukan sahaja untuk pendidikan, malah urusan pekerjaan, perniagaan serta mendapatkan maklumat dan perkhidmatan kerajaan.

Dalam pada itu, Mohd Aidil berkata, aspek keselamatan penduduk pada waktu malam juga perlu diberi perhatian menerusi penyediaan pencahayaan jalan yang lebih baik.

Katanya, pemasangan lampu jalan atau penggunaan lampu solar akan diteliti mengikut kesesuaian lokasi dengan mengambil kira keadaan kawasan yang dipenuhi pokok bagi memastikan sistem pencahayaan berfungsi dengan berkesan.

Mohd Aidil turut menyentuh mengenai projek jalan yang menghubungkan Guntur dengan Langkap yang menurutnya telah lama tertangguh walaupun proses penilaian tanah telah dimulakan.

Beliau berkata, sebahagian pemilik tanah telah menerima pampasan, namun masih terdapat beberapa proses yang perlu diselesaikan sebelum projek berkenaan dapat diteruskan sepenuhnya.

“Jika diberi mandat, saya akan berusaha mempercepatkan proses pelaksanaan projek ini dengan kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan kerana jalan ini penting untuk membuka akses lebih baik kepada penduduk serta merangsang pembangunan kawasan sekitar,” ujarnya.

Menurut Mohd Aidil, kawasan Kampung Orang Asli Guntur dan Chergun juga mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai lokasi rekreasi dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.

Beliau berkata, aktiviti seperti jambori berbasikal, perkhemahan, pendakian dan sukan lasak mampu menarik penyertaan pengunjung dari seluruh negara, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat melalui sektor pelancongan komuniti.

Katanya, pembangunan kawasan luar bandar dan penambahbaikan kemudahan asas perlu bergerak seiring agar masyarakat Orang Asli turut menikmati manfaat pembangunan secara lebih menyeluruh tanpa terus berdepan kekurangan kemudahan yang sepatutnya dinikmati semua rakyat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast