Penyediaan 240 petak parkir yang beroperasi 24 jam bagi kemudahan warga kota serta pelancong di Dataran Merdeka. Gambar: Facebook DBKL.

KUALA LUMPUR – Tempat letak kereta di Dataran Merdeka kini tampil lebih moden, selesa dan sistematik selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan pelbagai penambahbaikan termasuk penyediaan 240 petak parkir yang beroperasi 24 jam bagi kemudahan warga kota serta pelancong.

Transformasi itu merangkumi pemasangan sistem tempat letak kereta (LTK) terkini, sistem pencegahan banjir, tandas awam yang lebih bersih dan selesa serta penyediaan lot komersial untuk meningkatkan pengalaman pengguna.

Selain itu, DBKL turut melaksanakan kerja-kerja menaik taraf pencahayaan, mengecat semula ruang parkir dan menambah baik laluan serta susun atur parkir supaya lebih teratur dan mesra pengguna.

Menurut DBKL, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen pihak berkuasa tempatan itu dalam mempertingkatkan kualiti kemudahan awam di ibu negara.

“Usaha ini dilaksanakan demi memastikan keselesaan, keselamatan dan pengalaman terbaik kepada warga kota serta pengunjung yang menggunakan kemudahan di kawasan bersejarah itu,” katanya dalam kenyataan.

DBKL berkata, Dataran Merdeka yang menjadi antara lokasi tumpuan utama di Kuala Lumpur dijangka menerima manfaat daripada kemudahan baharu itu, khususnya ketika penganjuran acara berskala besar dan musim cuti, sekali gus memudahkan orang ramai mendapatkan akses parkir pada bila-bila masa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast