JEMPOL – Siapa sangka di sebalik hamparan ladang kelapa sawit di Bahau, tersembunyi sebuah destinasi rekreasi yang kini menjadi kegilaan orang ramai terutamanya para pendaki.
Bukit Taisho bukan sekadar lokasi mendaki, malah menawarkan pengalaman unik yang sukar ditemui di tempat lain apabila berpeluang mendaki dalam suasana redup di bawah pelepah sawit sebelum disajikan panorama awan karpet yang memukau di puncak.
Setiap hujung minggu, seawal jam 5 pagi, ratusan pengunjung mula membanjiri kaki bukit yang terletak tengah-tengah pekan Bahau dekat Jempol.
Ada yang datang bersama keluarga, ada yang membawa kamera profesional, malah tidak kurang juga sanggup memandu berjam-jam semata-mata mahu menyaksikan sendiri fenomena ‘sea of clouds’ yang sering menghiasi langit Jempol ketika matahari mula menyinsing.
Lebih menarik, pendakian ke puncak hanya mengambil masa sekitar 25 hingga 35 minit di mana pendaki boleh memilih laluan mendatar atau trek mencabar.
Laluan yang mesra pendaki menjadikan Bukit Taisho pilihan ideal buat mereka yang pertama kali mencuba aktiviti ‘hiking’ tanpa perlu menempuh trek ekstrem.
Berbeza dengan kebanyakan lokasi pendakian lain, laluan Bukit Taisho sentiasa dalam keadaan terjaga, persekitarannya bersih dan teratur.
Pengalamanan dua wartawan MalaysiaGazette mendaki hari ini laluan bahagian yang curam pula telah dilengkapi trek bersimen bagi memudahkan pendakian.
Selain itu lampu solar dipasang di beberapa lokasi sebagai panduan kepada pengunjung yang memulakan pendakian sebelum Subuh.
Sepanjang perjalanan, pendaki menikmati suasana mendamaikan di bawah rimbunan pelepah kelapa sawit yang menyamankan langkah apabila berteduh dengan alam semula jadi.
Tidak hairanlah ramai menyifatkan pendakian di Bukit Taisho lebih kepada pengalaman ‘healing’ selain menguji ketahanan fizikal di laluan bertanah dan berpasir.
Semangat melantun langkah demi langkah, pendaki yang melalui ‘Jambatan Pasangan’ juga tidak melepaskan peluang untuk merakam kenangan di ‘check point’ yang disediakan sebagai pemandu arah.
Sebaik tiba di puncak, pengunjung disambut panorama 360 darjah yang memukau dengan hamparan hijau ladang, kawasan Bahau dan Jempol sejauh mata memandang.
Puncak yang dikenali Puncak Harimau turut dihiasi taman bunga, dekorasi kreatif dan lokasi bergambar ikonik seperti Sky Mirror merupakan bonus kepada mereka yang suka bergambar.

Apa yang lebih membanggakan, difahamkan semua kreativiti dan kawasan laluan pendakian dibangunkan dengan hasil usaha komuniti setempat, di sini.
Walaupun berada di atas tanah milik persendirian, pemiliknya membuka kawasan itu secara percuma kepada orang ramai.
Mereka bergotong-royong mencantikkan kawasan, menjaga kebersihan dan menambah baik kemudahan demi memastikan Bukit Taisho terus menjadi destinasi rekreasi yang selesa dan selamat.
Daripada sebuah bukit yang suatu ketika dahulu hanya dikenali penduduk tempatan, Bukit Taisho tersembunyi kini muncul sebagai antara ikon pelancongan alam semula jadi Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette















