SEPANG – Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Induk Khas bagi menyelaras aspek keselamatan, protokol dan logistik sempena penganjuran perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini.
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bersama kementerian serta agensi berkaitan pada 28 Julai lalu sebelum memorandum berkenaan diluluskan Kabinet sehari kemudian.
Menurut beliau, penganjuran F1 kali ini dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Bahrain dan menjadi langkah awal untuk menilai potensi Malaysia kembali dimasukkan ke dalam kalendar tetap perlumbaan berprestij dunia itu.
“Jawatankuasa induk akan dipengerusikan oleh KSN melibatkan semua Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Pengarah dan agensi keselamatan, manakala Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi memastikan semua gerak kerja mematuhi syarat serta garis masa yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau SIC di sini hari ini.
Beliau berkata, SIC juga akan mengemukakan laporan berkala kepada KBS manakala perbincangan teknikal bersama Bahrain International Circuit (BIC) berkaitan tiket dan operasi akan diteruskan dalam masa terdekat.
Tambahnya, kerajaan mahu memastikan penganjuran F1 kali ini memberi manfaat secara langsung kepada rakyat menerusi limpahan ekonomi dan penglibatan komuniti.
“Kerajaan akan melancarkan program sukarelawan yang menyasarkan belia, pelajar kolej dan universiti. Kita jangkakan sekurang-kurangnya 1,000 sukarelawan akan terlibat bagi merasai sendiri pengalaman F1,” katanya.
Selain itu, katanya, karnival rakyat akan diadakan sepanjang tempoh penganjuran bagi memberi peluang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan menerusi jualan makanan, kraftangan dan cenderamata beridentitikan Malaysia.
Mengulas mengenai tiket Madani yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini, Dr. Mohammed Taufiq berkata, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan kerana harga dan kuota tiket tertakluk kepada pihak Bahrain.
“Antara cadangan yang dibincangkan ialah konsep suasana piknik dan mesra keluarga supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati kemeriahan F1 walaupun tidak berada di tempat duduk utama,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, kerajaan ketika ini hanya memperuntuk RM16 juta bagi kerja-kerja naik taraf SIC manakala kos penganjuran perlumbaan ditanggung sepenuhnya oleh Bahrain.
Katanya lagi, perbincangan turut diadakan bagi mendapatkan penajaan daripada pihak swasta dan korporat untuk menampung kos tambahan yang diperlukan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pasukan teknikal Formula One Management (FOM) dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) yang melakukan pemeriksaan di SIC pada 23 Julai lalu tidak menemui sebarang isu kritikal.
“Tiada sebarang red flags ditemui. Kita hanya perlu melakukan beberapa penambahbaikan kecil dan kerja naik taraf bagi memenuhi spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.
Susulan itu, SIC dijangka ditutup kepada orang ramai bermula 7 September ini sehingga tamat penganjuran F1 bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan, ujian dan persiapan akhir dilaksanakan.
Mengulas kemungkinan Malaysia kembali menjadi tuan rumah tetap F1, beliau berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan namun kerajaan menganggarkan limpahan ekonomi yang dijana mampu mencecah 13 kali ganda berbanding kos penganjuran.
“Fokus utama sekarang ialah memastikan penganjuran Oktober ini berjaya. Selepas itu, barulah kita akan membuka ruang kepada perbincangan untuk membawa semula Malaysia ke dalam kalendar F1 dunia,” katanya. – MalaysiaGazette
















