SEREMBAN – Benarkah orang Melayu Islam semakin kehilangan kuasa di negara sendiri, atau dakwaan itu sekadar naratif politik yang dibina untuk menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat?
Persoalan itu dibangkitkan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (AHAS KIRKHS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin ketika mengulas tulisan Presiden Pas bertajuk Kaum dan Perkauman: Mengapa Melayu Islam Memimpin Malaysia yang diterbitkan baru-baru ini.
Menurut beliau, dakwaan kepimpinan Melayu Islam semakin terhakis tidak disokong oleh realiti pentadbiran negara kerana institusi teras negara sehingga hari ini masih diterajui oleh orang Melayu beragama Islam.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong merupakan Raja Melayu beragama Islam, manakala Sultan di setiap negeri kekal sebagai Ketua Agama Islam.
“Malah Perdana Menteri serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri juga terdiri daripada pemimpin Melayu Bumiputera beragama Islam.
“Jawatan utama negara seperti Ketua Hakim Negara, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Ketua Polis Negara dan Ketua Setiausaha Negara juga masih berada dalam kelompok kepimpinan Melayu Islam,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata, majoriti penjawat awam negara turut terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera, selain kumpulan itu mewakili lebih 60 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia.
“Berdasarkan kedudukan ini, di mana sebenarnya bukti bahawa orang Melayu Islam sudah tidak lagi memimpin negara?,” soalnya.
Menurut Abu Hafiz, masyarakat Melayu sememangnya berdepan pelbagai cabaran termasuk kemiskinan, jurang pendidikan, pemilikan ekonomi, gaji yang masih rendah serta ketidakseimbangan kekayaan.
Bagaimanapun, katanya, isu berkenaan tidak boleh diselesaikan dengan membina naratif bahawa kuasa Melayu Islam sedang dirampas sedangkan struktur kepimpinan utama negara masih kekal seperti sedia ada.
Beliau turut mengkritik kecenderungan sesetengah pihak yang menjadikan kecenderungan politik sebagai ukuran untuk menentukan siapa Melayu atau Islam yang ‘tulen’.
“Islam tidak pernah mengajar kesetiaan kepada sesebuah parti politik menjadi ukuran keimanan atau ketulenan seseorang Melayu Islam.
“Ukuran kepimpinan dalam Islam ialah amanah, kemampuan, keadilan dan integriti, bukannya label parti,” ujarnya.
Beliau berkata, konsep asabiyah yang ditegah Rasulullah SAW ialah mempertahankan kelompok sendiri walaupun berada di pihak yang zalim, justeru prinsip itu perlu diterapkan secara adil kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
Sehubungan itu, Abu Hafiz menggesa semua pihak menghentikan politik yang membina ketakutan berasaskan kaum dan agama, sebaliknya memberi tumpuan melahirkan pemimpin yang berilmu, bersih daripada rasuah, berintegriti serta mampu mentadbir negara secara adil.
“Malaysia tidak kekurangan pemimpin Melayu Islam. Apa yang kita perlukan ialah lebih ramai pemimpin yang amanah, kompeten dan benar-benar meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















