KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) memberi jaminan sebarang keputusan pendakwaan yang menyentuh isu pengurusan dan operasi Tabung Haji (TH) akan dibuat berdasarkan undang-undang dan keterangan yang boleh diterima, tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam.
Menurut kenyataan hari ini, agensi itu memandang serius penemuan-penemuan yang terkandung di dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tersebut berhubung hal ehwal pengurusan, pelaburan dan dakwaan salah laku dalam TH.
“Jabatan Peguam Negara menyambut baik pengumuman keputusan Jemaah Menteri untuk Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Bagi Menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi Lembaga Tabung Haji Dari Tahun 2014 Hingga 2020 dibuat pengelasan semula dan didedahkan kepada umum.
“Jabatan ini akan mengambil tindakan segera meneliti laporan berkenaan bagi memastikan segala aspek siasatan oleh badan-badan penguat kuasa dapat dilaksanakan dengan menyeluruh dan komprehensif.
“Ia bagi membolehkan pertimbangan sewajarnya dapat dibuat untuk menentukan sama ada wujud sebarang pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan pendakwaan dilaksanakan,” demikian menurut kenyataan itu yang disiarkan dalam laman sosial Facebook.
Katanya, tindakan dan komitmen AGC adalah selaras dengan tanggungjawab perlembagaannya untuk memastikan siasatan sentiasa dijalankan mengikut peruntukan undang-undang dan bukti yang ada.
“Jabatan ini memberi jaminan bahawa sebarang keputusan pendakwaan, sekiranya perlu, akan dibuat berdasarkan undang-undang dan keterangan yang boleh diterima, tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam,” ujarnya.
Menurut kenyataan, bagi memelihara integriti proses siasatan maka orang awam disaran agar tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan dan menurunkan keyakinan terhadap kewibawaan dan kelangsungan TH dalam melaksanakan peranannya menurut Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535].
Laporan setebal 252 muka surat bertarikh 19 Julai 2022 itu mengandungi penemuan siasatan dan syor penambahbaikan pengurusan dan operasi TH untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022 sebelum didedahkan kepada umum semalam.
RCI yang dianggotai enam pesuruhjaya itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif manakala anggotanya termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, dan pengasas RHB Group, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Tiga lagi anggota ialah Pengerusi CARIASEAN Research and Advocacy dan Asean Business Advisory Council Malaysia (ketika dilantik), Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) (ketika dilantik), Prof Dr Asmadi Mohamed Naim; serta akauntan bertauliah Norsyahrin Hamidon.
Datuk Hakimah Mohd Yusoff yang ketika itu adalah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya berkenaan.
Enam pesuruhjaya itu dilantik dan ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 20 Januari 2022, dengan tempoh pelantikan selama enam bulan hingga 19 Julai tahun sama.- MalaysiaGazette
















