Presiden MCW, Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan kejayaan sebenar pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) bukan diukur melalui keuntungan politik mana-mana pihak.

Sebaliknya, menurut Presiden MCW, Jais Abdul Karim, kejayaan sebenar adalah keberanian negara melaksanakan reformasi institusi, memperkukuhkan akauntabiliti dan memastikan amanah rakyat diurus secara telus, profesional serta bebas daripada campur tangan politik.

Tambahnya, MCW berpandangan bahawa amanah mengurus dana umat seperti TH hendaklah diserahkan kepada individu yang mempunyai integriti, profesionalisme dan kepakaran serta bebas daripada sebarang pengaruh politik.

“Bagi MCW, dapatan RCI menunjukkan bahawa isu sebenar bukan sekadar sama ada wujud unsur `sakau’.

“Tetapi lebih besar daripada itu, iaitu campur tangan politik, kelemahan tadbir urus, konflik kepentingan, struktur pelaburan yang tidak berkesan serta keperluan memperkukuhkan mekanisme semak dan imbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, RCI TH turut menunjukkan bahawa kelemahan tadbir urus berlaku merentasi tempoh pentadbiran yang berbeza.

Sehubungan itu, ujarnya, isu tersebut tidak seharusnya dilihat melalui lensa kepartian, sebaliknya sebagai kegagalan sistem yang memerlukan pembaharuan institusi secara menyeluruh.

Jelasnya, cadangan RCI supaya ahli politik aktif tidak lagi dilantik menganggotai Lembaga TH juga merupakan satu langkah reformasi yang wajar dipertimbangkan untuk diperluaskan kepada institusi kewangan milik kerajaan (GLIC), syarikat milik kerajaan (GLC) serta badan berkanun lain yang mengurus dana awam.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerbitkan Laporan RCI berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Dokumen setebal 211 halaman dalam format dokumen mudah alih (PDF) itu dimuat naik di laman web Jakim dan mengandungi ringkasan eksekutif, empat bab utama serta senarai ekshibit berkaitan siasatan.

Ia turut mengandungi penemuan siasatan dan syor penambahbaikan pengurusan dan operasi TH untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast