Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Munajat Perdana sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Orang Ramai Linggi, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 30 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan Lembaga Tabung Haji (TH) dibuat ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Perdana Menteri, laporan RCI itu pula siap ketika era pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Katanya, beliau perlu menjelaskan perkara itu memandangkan banyak pihak mempersoalkan mengapa laporan RCI TH itu tidak didedahkan lebih awal.

Tambahnya, sewaktu mengambil alih pentadbiran negara, Tan Sri Abdul Rashid Hussain yang kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi TH memohon supaya laporan itu tidak diterbitkan terlebih dahulu kerana institusi itu sedang dipulihkan.

“Dia (Abdul Rashid) kata kerosakan terlalu banyak, kerugian terlalu banyak. Salah guna kuasa terlalu banyak.

“Biar kami siasat, tetapi RCI dah buat, tapi kami nak baiki. Kalau disebarkan waktu itu, tiga tahun yang lalu, rakyat yang menyimpan iaitu pencarum Tabung Haji akan lari habis. Jadi, dia kata jangan terbitkan dulu,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam program Munajat Perdana di Dewan Orang Ramai Linggi di sini malam ini, yang turut dihadiri Menteri Besar yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, Anwar menjelaskan, kerajaan dalam membantu membaik pulih TH ketika itu turut membuat keputusan supaya Kementerian Kewangan mengambil alih syarikat-syarikat kecil berkaitan TH yang berdepan kerugian untuk diselamatkan.

Manakala, ujarnya, syarikat-syarikat TH yang mencatatkan keuntungan dikekalkan untuk terus diuruskan di bawah pentadbiran TH.

Malangnya, tambah beliau, langkah kerajaan itu dijadikan modal politik kononnya pengurusan TH diserahkan kepada orang Cina memandangkan Menteri Kewangan ketika itu adalah pemimpin DAP, Lim Guan Eng.

“Maknanya, syarikat-syarikat Tabung Haji yang tak rugi, kekal dengan Tabung Haji. Syarikat-syarikat Tabung Haji yang rugi, pergi ke Kementerian Kewangan. Jadi, salahnya di mana?

“Kalau kita bagi yang rugi kepada Tabung Haji, yang untung balik kepada Kementerian Kewangan, saya fahamlah.

“Ini kerajaan ambil yang rugi, kerana apa? Sebab nak selamatkan pencarum yang berjuta-juta orang. Yang jadi pencarum dan menyimpan dengan Tabung Haji ini ramainya orang-orang kampung,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast