Gambar dari Nepal Mountain Guide Team

 

ISLAMABAD – Empat daripada 10 orang pendaki yang dilaporkan hilang selepas runtuhan salji melanda kawasan Broad Peak di utara Pakistan ketika mereka menyertai ekspedisi pendakian sudah ditemui.

Salah seorang daripada mereka ialah Nirmal Purja, pendaki gunung terkenal dari Nepal.

Selain Purja, sembilan lagi pendaki terdiri daripada lima warga Nepal, masing-masing seorang warga Pakistan, Oman, Amerika Syarikat, China dan seorang lagi warga asing.

Kelab Alpine Pakistan (ACP) memaklumkan, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian runtuhan salji yang melanda pasukan pendaki di Broad Peak yang berketinggian 8,047 meter, terletak di banjaran gunung Karakoram.

Menurut ACP, pasukan ekspedisi yang diketuai Purja itu gagal dihubungi sejak kejadian berkenaan.

“Keseluruhan pasukan dilaporkan terputus hubungan sejak runtuhan salji berlaku,” menurut kenyataan ACP.

Menurut ACP, data lokasi GPS daripada sebahagian pendaki yang hilang menunjukkan runtuhan salji telah menghanyutkan kumpulan itu kira-kira 1,000 meter menuruni cerun, menyebabkan mereka terperangkap.

ACP berkata, segala usaha sedang dilakukan bagi menggerakkan helikopter serta semua aset menyelamat yang tersedia secepat mungkin, tertakluk kepada keadaan cuaca dan operasi.

Menurut ACP, data lokasi GPS daripada sebahagian pendaki yang hilang menunjukkan runtuhan salji telah menghanyutkan kumpulan itu kira-kira 1,000 meter menuruni cerun, menyebabkan mereka terperangkap.

Broad Peak adalah gunung ke-12 tertinggi di dunia, terletak diĀ  Karakoram sempadan Pakistan dan China.

Purja, 43, pernah berkhidmat dalam Briged Gurkha Britain sebelum menyertai Special Boat Squadron dalam Kor Marin Diraja Britain.

Sejak menjadi pendaki gunung dan pemandu ekspedisi sepenuh masa, beliau telah mencipta pelbagai rekod pendakian.

Pada 2019, Purja mencipta rekod dunia apabila berjaya menawan kesemua 14 puncak berketinggian melebihi 8,000 meter dalam tempoh hanya enam bulan enam hari, antara April hingga Oktober tahun tersebut.

Pada 2021, beliau bersama sembilan lagi pendaki Nepal turut mencatat sejarah apabila berjaya melakukan pendakian musim sejuk pertama ke puncak K2, gunung kedua tertinggi di dunia. – Agensi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast